suria

Bertuahnya mereka dapat jadi tetamu Allah... Ketahui 12 selebriti popular dapat tunai haji tahun ini

10 artis popular teruja diberi peluang dan kesempatan menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.

TAHUN 2019 merupakan tahun bermakna buat beberapa selebriti terkenal tanah air apabila mereka berpeluang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.

Peluang keemasan itu merupakan salah satu bentuk rezeki dan rahmat daripada Allah SWT yang tidak mungkin ditolak oleh mana-mana Muslim di dunia.

Bayangkan daripada jutaan umat Islam yang mengimpikan peluang tersebut, mereka merupakan antara insan-insan terpilih untuk menjadi tetamu Allah.

Jom kita semak 12 selebriti popular tanah air yang berkesempatan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.


1. Neelofa

PENGACARA Neelofa menunaikan rukun Islam kelima buat kali kedua disertai dua orang adik lelaki dan ibunya. Walaupun terdapat sedikit isu berkaitan visa, namun perkara itu dapat diselesaikan dan rombongan mereka bertolak ke Makkah pada Rabu.

Kali pertama Neelofa menunaikan haji adalah pada 2016.

2. Erra Fazira

Pelakon Erra Fazira buat pertama kalinya mengerjakan haji pada tahun ini dan dia berangkat bersendirian tanpa ditemani mahram. Menurut Erra, setelah lima tahun menyimpan hasrat, tahun ini merupakan tahun terbaik untuk dia mengerjakan ibadah tersebut.

Dia turut menghadiri kelas agama sebagai persediaan. Bekas ratu cantik Malaysia ini bertolak ke Makkah pada Isnin lalu dan akan berada di sana selama dua minggu.

3. Datin Seri Umie Aida

Pelakon Umie Aida bersyukur doanya ketika menunaikan umrah pada Januari lalu supaya dibukakan jalan untuk mengerjakan rukun Islam kelima dimakbul Allah SWT.

Umie berangkat ke Tanah Suci Makkah ditemani suaminya iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Ahad lalu. Ini kali pertama Umie menunaikan ibadat haji.

4. Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid

Isteri kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri ini mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia menunaikan ibadah tersebut bersama beberapa orang ahli keluarga tanpa ditemani suami.

Meskipun sedang sarat mengandung, Shahida berkata dia teruja untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dan berterima kasih kepada suaminya yang memberikan keizinan.

Shahida berlepas ke Makkah pada Selasa lalu.

5. Ashraf Muslim

Ashraf menunaikan ibadah haji sendirian dan berangkat ke Makkah pada Jumaat lalu. Menerusi muat naik di Instagram, pelakon drama Dia Menantu Rahsia ini turut meninggalkan pesanan kepada kedua-dua isterinya iaitu Dayana dan Sakinah supaya jangan bersedih atau bimbang dengan pemergiannya ke tanah suci.

6.Wany Hasrita

Pada usia 27 tahun, penyanyi Wany Hasrita tidak menyangka diberikan peluang menunaikan haji pada tahun ini setelah menerima jemputan istimewa daripada kedutaan Arab Saudi.

Bagaimanapun dia berasa sedih apabila hasrat untuk membawa ibunya iaitu Norita Jaafar tidak kesampaian.

7. Amira Othman

Penyanyi, Amira Othman berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji bersama Wany Hasrita pada Rabu.

Menerusi muat naik di Instagram, dia mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua yang mengenali dirinya dan memberitahu peluang ini merupakan aturan Allah yang sungguh tidak diduga.

8. PU Riz

Pendakwah muda dan pelakon, Muhammad Haris Ismail atau PU Riz bersyukur kerana hasratnya untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan. Ia bagaikan satu mimpi kerana proses permohonan agak rumit dan mengambil masa yang lama.

Dia sudah mengerjakan ibadah Umrah sebanyak enam kali dan peluang menunaikan haji kali ini lebih mengujakan.

9. Aris Ariwatan

Penyanyi Aris Ariwatan menunaikan ibadat haji bersama isteri, Maria M Nur pada tahun ini. Dia turut mengharapkan doa dari peminatnya supaya perjalanan ibadahnya dipermudahkan dan berjalan lancar.

Sepatutnya dia perlu menunggu giliran pada tahun 2021, namun rezekinya tiba lebih awal.

10. Shamsul Ghau Ghau

Pelawak yang juga penceramah motivasi, Shamsul Azahar Aliddin atau Shamsul Ghau Ghau berangkat menunaikan ibadah haji buat kali kedua.

Selain beribadah Shamsul turut menguruskan 29 jemaah lain bersama agensi pelancongan, As Saffwa Travel. Kali pertama Shamsul Ghau Ghau menunaikan ibadah haji adalah pada 2012.

11. Fizo Omar

Pelakon Fizo Omar tiba di Jeddah pada Rabu lalu untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Foto Fizo mengenakan ihram di Lapangan Terbang King Abdulaziz, Jeddah dimuat naik oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ketua Bahagian UMNO Temerloh, Mohd Sharkar Shamsudin di laman sosial Instagram miliknya dan memberitahu beliau menaiki penerbangan yang sama dengan Fizo dari Kuala Lumpur.

12. Engku Emran

Usahawan Engku Emran turut mengambil kesempatan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Menerusi foto yang dimuat naik oleh pelakon Fizo Omar memberitahu mereka berdua melakukan ibadah melontar jamrah bersama.

Bagaimanapun, menerusi Instagram peribadinya sendiri, suami kepada pelakon Laudya Cynthia Bella ini tidak memuat naik sebarang foto mengenai ibadahnya di tanah suci itu.

Artikel Lain