“Saya tak pernah menyusahkan Mawar” - Ibu bantah Fizo bercerai, netizen punca tekanan emosi

KISAH perceraian Fizo Omar dengan Mawar Abdul Karim terus menjadi bualan netizen apabila ibu pelakon tersebut diheret sama kerana dikatakan menjadi punca perpisahan itu.

Kesal dengan tuduhan itu, Hasnah Jidin, 59, sebaliknya berkata dia menentang keras keputusan Fizo dan Mawar untuk bercerai selain selalu menasihati mereka agar menyelesaikan masalah rumah tangga dengan baik.

“Ibu mana yang nak anak bercerai. Saya selalu menasihati Fizo dan Mawar supaya selesaikan masalah dengan baik. Tak nak sampai perlu bercerai-berai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Emak dan keluarga saya tertekan” - Fizo Omar perjelas isu 'anak emak', hubungan Mawar dan ibu tiada masalah

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya korbankan kasih sayang untuk kebahagiaan Fizo sekeluarga” - Mawar mahu bercerai bukan sebab harta atau orang ketiga

“Saya sendiri tak setuju dan menentang keras keputusan mereka bercerai. Saya dan Mawar pun tak ada masalah dan semuanya okey,” kata Hasnah kepada mStar.

Fizo dan ibunya ditemui di kediaman mereka yang terletak di Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Fizo sebak apabila bercerita mengenai tekanan yang terpaksa dihadapi ibunya susulan perceraian dia dan Mawar.

Sebelum ini, kenyataan Mawar bahawa dia terpaksa mengorbankan kasih sayang demi kebahagiaan Fizo sekeluarga menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen membuat andaian dan mendakwa perceraian mereka disebabkan campur tangan ibu Fizo.

Dalam pada itu, Hasnah turut menjelaskan dia tidak pernah menyusahkan Mawar atau sesiapa sahaja sepanjang mereka tinggal bersama.

Menurut Hasnah, dia tidak hanya tinggal di rumah Fizo sepanjang enam tahun namun kerap berulang alik ke rumah anak-anak lain juga.

“Saya tak pernah menyusahkan sesiapa dalam rumah itu. Saya ada ramai anak tapi saya lebih selesa tinggal bersama Fizo.

"Dia yang menjaga saya sejak arwah suami meninggal dan kami sudah berbelas tahun tinggal bersama.

“Tapi sepanjang enam tahun tu, saya bukan duduk di situ sahaja tapi selalu berulang-alik tinggal di rumah anak-anak yang lain juga,” ujarnya.

Fizo dan Mawar bercerai pada 10 Julai lalu.

Sementara itu, Fizo memberitahu ibunya mengalami tekanan apabila menerima banyak pertanyaan daripada pihak luar akibat spekulasi dan komen negatif netizen di laman sosial.

Fizo turut meminta netizen untuk berhenti mengaitkan keluarganya dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang meninggalkan komen melampau.

“Spekulasi dan komen negatif netizen memberi kesan kepada ibu dan keluarga saya. Ibu saya memang tak berapa sihat sebab dia menghidap kencing manis.

“Bila cerita ini timbul, orang asyik bertanya kepada ibu saya sampai menganggu emosi dia sehingga tertekan. Saya tertanya-tanya juga apa salah ibu dan keluarga saya sampai orang buat macam ni?

“Saya harap ini kenyataan terakhir dan netizen berhenti mengaitkan ibu dan keluarga saya. Kalau ada yang komen melampau, saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Fizo berkahwin dengan Mawar pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam, 2.

Fizo melafazkan cerai terhadap isterinya Mawar Abdul Karim pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Fizo Omar, Mawar Abdul Karim

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Lelaki jual vaksin Covid-19 palsu ditahan

Harga petrol, diesel naik