suria

Farid Kamil dah reda dipenjara, keluarga tak putus usaha nak sambut Aidilfitri bersama

Fadzil (kiri) dan keluarga masih sedih dengan berita Farid terpaksa menjalani hukuman penjara sembilan bulan.

PELAKON dan juga adik kepada aktor Datuk Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari memberitahu abangnya yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang kini kelihatan lebih tenang.

Menurut Fadzil, ketika menemani kakak iparnya iaitu Datin Diana Dianelle melawat Farid baru-baru ini, pelakon filem Remp-It itu kelihatan seperti sudah menerima keadaan dan reda dengan keputusan yang ditetapkan mahkamah.

"Saya dan Diana pergi melawat Farid di Penjara Kajang. Alhamdulillah, dia sudah kelihatan lebih tenang dan kuat berdepan dengan dugaan ini.

"Sebelum ini memang nampaklah dia sedih. Tapi sekarang, dia dah reda dengan keputusan mahkamah," kata Fadzil kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil beraya dalam penjara


Fadzil berharap Farid dapat dibebaskan untuk menyambut hari raya bersama keluarga.

Fadzil ditemui ketika majlis berbuka puasa Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan (WHAM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bersama anak yatim di Malaysia Petroleum Club KLCC, baru-baur ini.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Yana Samsudin ini masih berharap agar Farid dapat menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga.

Kata Fadzil, mereka sekeluarga juga masih dalam keadaan terkejut dengan keputusan mahkamah pada 15 Mei lalu namun tidak pernah putus harapan.

Tambahnya, peguam Farid, Megat Syazlee Mokhtarom dalam proses membuat rayuan untuk menangguhkan hukuman terhadap pelakon dan pengarah itu.

Fadzil tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai rayuan untuk bebaskan atau menangguhkan hukuman Farid.

"Ibu bapa saya amat bersedih dengan berita ini tapi mereka sentiasa berdoa supaya ada keajaiban berlaku dalam tempoh kurang dua minggu sambutan hari raya.

"Malah, ada juga dalam kalangan keluarga dan kenalan terdekat yang turut menganjurkan solat hajat. Buat masa sekarang, peguam masih usahakan untuk rayuan.

"Saya pun tak boleh nak mengulas lebih lanjut mengenai rayuan untuk membebaskan atau menangguhkan hukuman Farid itu," ujarnya.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara sembilan bulan dan berada bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaa n (AADK) selama dua tahun kerana menggunakan dadah jenis ganja pada Januari tahun lalu.

Majistret Nor Arriffin Hisham turut memerintahkan Farid menjalani hukuman penjara serta-merta pada 15 Mei lalu.

Artikel Lain