“Ini peluang saya berdakwah” - Norman Hakim tak lokek tip pulihkan hubungan ibu-bapa bercerai

Norman Hakim.

HUBUNGAN baik yang terjalin antara pelakon Norman Hakim dan bekas isterinya Abby Abadi selepas berpisah menjadi inspirasi kepada individu yang mengalami masalah keluarga.

Norman, 43, berkata, disebabkan perkara itu juga dia menerima banyak pertanyaan daripada pengikut di laman sosial yang meminta pandangannya mengenai ibu-bapa yang sudah bercerai.

Tambahnya, kebanyakan yang menghubunginya ialah anak-anak yang ingin mengetahui cara untuk merapatkan hubungan orang tua mereka.

"Saya selalu terima mesej daripada mereka yang meminta pandangan macam mana cara nak bina muafakat antara mak dan ayah.

"Yang tanya ni kebanyakan anak-anak yang nak rapatkan hubungan orang tua mereka yang dah berpisah.

"Walaupun tak mungkin berkahwin semula tapi sekurang-kurangnya mereka mahu hubungan itu berkekalan tanpa sebarang masalah," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Buang ego yang bersifat syaitonirrajim" - Norman Hakim kongsi petua untuk keluarga bercerai


Norman bahagia bersama isterinya, Memey.

Norman ditemui di tayangan program khas raya Indahnya Syawal RTM 2019 yang diadakan di KL Gateway, baru-baru ini.

Sementara itu, suami kepada Memey Suhaiza ini menganggap nasihat yang diberikan itu merupakan sebahagian bentuk dakwah.

Tambah Norman, panduan yang dikongsi itu mungkin berguna dan memberikan manfaat kepada orang lain.

"Saya anggap pertanyaan mereka itu sebagai peluang untuk saya berdakwah.

"Ini dakwah kecil yang boleh saya lakukan dan semoga ada barakah serta menjadi panduan untuk orang kain.

Hubungan Norman dan Abby menjadi inspirasi kepada pasangan yang bercerai.

"Sebenarnya saya dulu pun melalui fasa yang sukar untuk sampai tahap ini. Bagaimana saya melalui episod perpisahan dengan Abby sehinggalah hubungan keluarga kami rapat hari ini," ujarnya.

Hubungan antara Norman, Abby dan Memey Suhaiza mendapat perhatian netizen di laman sosial apabila mereka seronok melihat keakraban mereka berdua biarpun sudah bercerai.

Abby dan Norman bercerai pada 2008 dan menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim yang berusia 10 tahun.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.

Dia kemudian berkahwin dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 14 Ogos 2015 dan bahagia sehingga kini.

Artikel Lain