Kes dera anak, JKM cari Aliff Syukri di pejabat - Hiburan | mStar

Kes dera anak, JKM cari Aliff Syukri di pejabat

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan ada menerima kunjungan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada pagi Khamis.

Aliff bagaimanapun berkata tiada sebarang pertemuan atau perbincangan berlaku kerana dia sibuk menguruskan hal berkaitan pelancaran produknya, AS Legacy.

"Pihak JKM ada datang ke pejabat kami pagi tadi tapi saya dan isteri tiada ketika itu kerana sibuk menguruskan acara petang ini, jadi tak sempat nak jumpa.

ARTIKEL BERKAITAN: "Rajin upload dalam media sosial akhirnya makan diri Aliff Syukri"

"Polis juga ada hubungi saya dan bertanyakan beberapa perkara mengenai laporan mendera anak itu.

"Memandangkan tak dapat bertemu hari ini, jadi kita sudah maklumkan kepada JKM untuk hubungi mereka semula nanti," katanya kepada mStar.

Aliff mahu didik anak.

Aliff ditemui semasa majlis pelancaran produk AS Legacy yang diadakan di Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Pada Rabu lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis ke atas usahawan itu kerana merotan anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan alasan kanak-kanak itu membuka tudung.

Laporan itu dibuat oleh Protect and Save The Children (P.S. The Children), ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.

CRCM menggesa polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengambil tindakan segera dan menyeluruh terhadap insiden itu.

Aliff dan Shahidah tahu cara menjaga dan membesarkan anak.

Sementara itu, penyanyi lagu Bobo Di Mana ini turut berasa hairan dan pelik apabila perkongsiannya itu menarik perhatian ramai sehingga menerima kritikan segelintir pihak.

Ujarnya, sebelum ini dia pernah berkongsi beberapa kejadian rompak dan curi yang pernah berlaku terhadapnya, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

"Saya hairan betul, kes pukul anak untuk tujuan mendidik dapat perhatian ramai pihak termasuklah badan NGO dan polis.

"Tapi bila saya share tentang pekerja pecah amanah, barang saya dicuri tak ada apa tindakan dan semua orang diam sahaja. Tak ada pula sampai viral.

"Kalau macam itu, jom lah kita viralkan kisah anak-anak gelandangan dan harap NGO-NGO ini dapat bantu mereka!," katanya.

Pasangan ini mahu anak mereka menjadi wanita muslimah dan tahu batas agama.

Dalam pada itu, Aliff turut memohon maaf jika tindakannya mendidik anak itu kurang disenangi sesetengah pihak.

"Apa-apa pun saya nak mohon maaf jika video itu membuatkan ada pihak rasa kurang senang dan percayalah tak ada niat nak mendera anak.

"Pada mulanya saya muat naik video itu sebab merancang nak keluarkan produk krim untuk badan tapi jadi lain pula bila ia tular," katanya.

Pada Selasa, Aliff memuat naik video berdurasi satu minit memperlihatkan dia sedang menyapu krim di tubuh anak perempuannya, Qadejah El Zahra berusia sembilan tahun.

Dalam video itu Aliff berkata dia merotan Qadejah atau Cess kerana membuka tudung di hadapan lelaki tidak dikenali atas sebab tertentu.

Aliff Syukri

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu