suria

Michael Ang terima hidayah dua tahun lalu dalam mimpi

Michael Ang mendapat hidayah untuk memeluk Islam pada dua tahun lalu.

PENGARAH dan penerbit Michael Ang mendedahkan telah mendapat hidayah sejak dua tahun lalu untuk mendalami dan memeluk Islam.

Menurut Michael, dia bermimpi masuk ke dalam kaabah yang dipenuhi teko berwarna emas dan mengeluarkan air yang sangat wangi sehingga mengetuk pintu hatinya memeluk agama Islam.

"Dua tahun lepas saya mendapat hidayah... awalnya saya tidak tahu apa-apa mengenai mimpi itu sehinggalah saya ‘google’ mengenainya.

"Barulah saya tahu orang yang bawa saya masuk dalam rumah itu, dalam itu sebenarnya adalah kaabah. Sejujurnya saya fikir kaabah itu adalah batu yang dibalut dengan kain. Jadi bila tengok dalam google, ianya sama dengan mimpi saya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Assalamualaikum saudara” - Netizen raikan Michael Ang peluk Islam

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan sindir, biar dia dalami Islam ikut kelajuan sendiri”- Pendakwah kongsi detik Michael Ang lafaz syahadah


Michael Ang berkongsi pengalaman sepanjang setahun bergelar muslim.

"Saya juga bermimpi ada teko emas yang tergantung dalam kaabah itu mengeluarkan air yang sangat wangi seperti bunga ros. Kemudian saya juga nampak tulisan jawi pada jubin dalam kaabah berkenaan. Sejak itu, saya mula ambil tahu mengenai Islam dan tanya sesama rakan-rakan artis," ujarnya kepada mStar.

Michael ditemui pada majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2019 di Bukit Jalil pada Selasa.

Berkongsi pengalaman sepanjang setahun bergelar muslim, Michael berkata dia kini mengalami kesukaran untuk membaca dalam bahasa Arab.

Disebabkan itu, dia terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.

"Buat masa ini, saya masih dalam tempoh percubaan untuk membaca dalam bahasa Arab kerana lidah saya agak susah untuk menyebutnya.

"Sedangkan bahasa melayu pun saya masih pelat... tetapi saya tetap menjalankan ibadah, tetap solat tetapi dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Dalam pada itu, pengarah filem Kimchi Untuk Awak ini berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan khabar gembira ini sebaliknya menganggap ia sebagai sesuatu yang istimewa dan bersifat peribadi.

Michael tiada niat untuk sembunyikan status agamanya.

"Sebenarnya saya tiada niat pun nak kongsi mengenainya. Bukan nak sembunyi tapi perkara sebegini biarlah antara saya dengan Allah.

"Lagipun saya taknak besarkan perkara ini sebab saya taknak terima kecaman daripada netizen. Saya taknak mereka kata saya masuk Islam sebab nak projek. 

"Apabila menyentuh mengenai agama, saya memilih untuk tidak menjawab kerana ia adalah sesuatu yang sangat peribadi. Satu permintaan, kalau saya salah tolong tunjuk ajar sebab saya masih baharu dan dalam mengenal Islam," ujarnya.

Bercerita lanjut, Michael berkata dia berasa bersyukur kerana keputusannya untuk memeluk agama Islam diterima baik keluarganya.

"Sejak berumur 14 tahun lagi saya memiliki kepercayaan setiap daripada kita hanya mempunya satu tuhan. Tetapi tuhan yang mana satu, saya masih mencari-cari lagi ketika itu.

"Walaupun saya dibesarkan dalam ajaran Budha, tetapi saya tidak diajar tentang agama itu. Pada ketika itu juga dah sudah mempersoalkan kenapa kita perlu ada banyak tuhan?

"Alhamdulillah... penerimaan keluarga sangat baik. Masa awal-awal masuk Islam, keluarga ada membuat kejutan apabila bersama-sama saya meraikan hari raya pertama saya sebagai muslim. Mereka siap belikan saya lemang," katanya.

Michael Ang

Artikel Lain