suria

David Foster puji 'Nama' bawa imej wanita Muslim

Nama menjanjikan persembahan terbaik untuk pusingan akhir Asia's Got Talent yang berlangsung malam ini.

DUA peserta dari Malaysia iaitu Nama dan Yaashwin Sarawanan yang berjaya ke peringkat akhir rancangan Asia's Got Talent mendapat perhatian juri-juri program tersebut.

Menurut David Foster, salah seorang daripada anggota Nama sesuai dijemput sebagai tetamu rancangan televisyen mengenai wanita di Los Angeles (LA).

"Dunia perlu melihat kumpulan Nama. Empat gadis moden yang beragama Islam. Saya ada mencadangkan kepada seorang kenalan di LA yang mengendalikan program TV mengenai wanita.

"Saya katakan salah seorang daripada mereka sesuai dijemput sebagai tetamu program itu. Ia pasti menarik untuk siaran TV di Amerika kerana mereka adalah penyanyi yang hebat," katanya kepada Bernama dan media Singapura.

David Foster mencadangkan agar anggotan Nama dijemput menghadiri program TV di Los Angeles.

Nama dianggotai empat gadis iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24.

Selain itu penyanyi rap Amerika-Korea, Jay Park yang juga juri program tersebut memuji bakat Yaashwin Sarawanan kerana dianggap unik.

"Dia berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki dapat menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila," katanya.

Yaashwin akan membuat persembahan terakhirnya di Marina Bay Sands, Singapura bersama Nama dan tujuh lagi finalis malam ini (Khamis).

Antara finalis lain ialah Siti Saniyah (Indonesia), Maniac Family (Taiwan), Shadow Ace (Filipina), Junior Good Vibes (Filipina) dan Eric Chien (Taiwan).

Yaashwin Sarawanan juga digelar sebagai 'manusia kalkulator'.

Dalam pada itu, juri ketiga yang juga penyanyi Anggun Cipta memberitahu program realiti antarabangsa ini menawarkan platform bertaraf dunia.

"Bagi saya, dunia menjadi semakin kecil sebab itu anda perlu menggunakan platform ini sebaiknya sebab boleh menjadi tular dan pergi ke mana-mana bidang dalam dunia yang anda mahukan.

"Hadiah US$100,000 boleh jadi banyak atau sedikit, bergantung kepada apa yang anda mahu buat," kata Anggun.

Pusingan akhir Asia's Got Talent akan bersiaran pada 8.30 malam ini di saluran AXN (Astro saluran 701) dan AXN HD (Astro saluran 721).

- BERNAMA

Artikel Lain