suria

Isu anak ‘dibawa lari suami’ selesai, luahan dibuat ketika dalam keadaan sedih - Adira

Datuk Red dan Adira berkahwin pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

PENYANYI Adira menepis dakwaan suaminya Datuk Seri Adnan Abu yang mendedahkan wujud individu yang cuba merosakkan keharmonian rumah tangga mereka.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 28, sebaliknya berkata, apa yang berlaku adalah di antara dirinya dengan Adnan atau lebih mesra dengan sapaan Datuk Red serta tiada kena mengena dengan pihak lain.

"Sepatutnya tiada sesiapa perlu terkait dengan hal berkaitan perkahwinan kami kerana yang menjalani kehidupan berumah tangga itu adalah saya dan suami.

"Jadi saya mohon agar tiada sesiapa membuat sebarang spekulasi liar menyalahkan peminat saya dengan menggelar mereka sebagai obses dengan kehidupan peribadi saya," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Adira dakwa anak dibawa lari, Datuk Red kata habis je pantang Adira hamil lagi


Adira memberitahu isu rumah tangganya sudah selesai. 

Penyanyi lagu Pujaan Hati ini mengulas isu luahan hati mengenai individu yang dikatakan membawa anaknya keluar tanpa kebenarannya yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Red.

Adira juga terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur apabila mengetahui anak-anaknya dibawa keluar ke lokasi yang tidak diketahui selepas menghadiri pengebumian bapanya di Sabah minggu lalu.

Datuk Red dalam respons mengenai dakwaan itu menjelaskan dia hanya membawa anak-anak mereka bertemu dengan adik-beradik isteri pertama yang dikenali sebagai Datin Red.

Tegasnya ia bukan satu kesalahan yang perlu diperbesarkan memandangkan dia adalah bapa dan penjaga anak-anak mereka.

Luahan Adira di Instagram mendapat perhatian peminat.

Bercakap mengenai catatan tersebut, Adira mengakui ia ditujukan kepada suaminya namun menjelaskan tindakannya itu kerana masih berada dalam keadaan sedih atas kehilangan bapanya.

Bagaimanapun tegas Adira, semua isu tersebut telah pun diselesaikan namun enggan menjelaskan mengenai situasi sebenar menyebabkan dia membuat luahan itu.

“Rasanya saya tidak perlu dedahkan apa-apa... Yang lepas itu lepas dan biar saya dan suami sahaja tahu apa sebenarnya telah berlaku tambahan pula perkara itu sudah pun selesai.

“Biasalah hidup berumah tangga ada turun naik, doakan yang baik-baik sahaja buat kisah cinta kami,” jelasnya.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Anggerik, 2 tahun dan Assan, 7 bulan. Penyanyi itu kini hamil empat anak ketiga mereka.

Adira, Datuk Red

Artikel Lain