Qi Razali mahu teman wanita kejar cita-cita sebelum kahwin - Hiburan | mStar

Qi Razali mahu teman wanita kejar cita-cita sebelum kahwin

Qi Razali mahu teman wanitanya, Nia Atasha mengejar impian dalam kerjayanya sebelum mendirikan rumah tangga.

PENGACARA dan pelakon Qi Razali memberitahu masih terlalu awal untuk dia dan teman wanitanya, Nia Atasha Rosli memikirkan hasrat mendirikan rumah tangga walaupun ada merancang untuk ke arah itu.

Qi atau Qushairi Mohammed Razali, 42, berkata, dia mahu Nia mengejar cita-citanya terlebih dahulu memandangkan kerjayanya dalam bidang seni baharu sahaja bermula.

"Perancangan berkahwin itu memang ada tetapi buat masa sekarang saya tidak berani untuk katakan bila namun yang pasti bukan tahun ini.

"Nia masih muda malah kerjayanya dalam bidang seni juga baru bermula jadi rasanya biarlah dia mengejar impiannya terlebih dahulu.

"Pada tahap ini banyak perkara yang boleh Nia cuba tambahan pula saya sendiri pun ada beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya kepada mStar Online.

Qi memberitahu OAG bakal mengadakan konsert pada 27 April ini. 

Qi ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu penyanyi Aina Abdul berjudul Sumpah baru-baru ini.

Bekas pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu juga muncul sebagai pelakon dalam muzik video lagu tersebut.

Dalam pada itu, sebagai seorang yang berpengalaman dalam dunia hiburan, Qi mengakui ada mengingatkan teman wanitanya itu agar sentiasa bijak membawa diri selain berpesan agar dia sentiasa fokus kepada objektifnya menceburkan diri dalam bidang seni.

Kata Qi, sebagai teman lelaki dia berbangga dengan Nia kerana walaupun usianya baharu sahaja mencecah 22 tahun namun wanita itu bijak membawa diri selain membezakan baik dan buruk.

Qi muncul dalam muzik video terbaharu penyanyi Aina Abdul berjudul Sumpah.

"Bidang hiburan ini jika kita tidak bijak bawa diri ia mungkin akan memakan diri kita kembali... Saya ada berpesan kepadanya agar sentiasa fokus dalam menggapai cita-cita.

"Alhamdulillah apa yang saya tengok dia seorang yang kuat dan sentiasa terbuka dalam belajar perkara baru," ujarnya yang sudah menjalinkan hubungan cinta dengan Nia sejak dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan bersama kumpulan OAG untuk konsert mereka pada Festival KL Jamm yang bakal berlangsung pada 27 April ini.

Kata Qi, sebagai menghargai peminat mereka juga bakal melancarkan single terbaharu berjudul Infiniti tidak lama lagi.

Selain itu, Qi juga bakal muncul dalam sebuah drama terbitan Viu berjudul Devoted.

Qi Razali , Nia Atasha Rosli