suria

“Tipu kalau aku tak rindu arwah, tambah-tambah bila aku ada masalah” - Syafie Naswip

Pelakon Syafie Naswip meluahkan perasaan rindu terhadap Allahyarham Yasmin Ahmad yang juga individu bertanggungjawab memperkenalkannya kepada dunia lakonan.

WALAUPUN sudah 10 tahun Yasmin Ahmad meninggal dunia namun pelakon yang juga anak didik Allahyarham iaitu Syafie Naswip tetap merindui pengarah tersohor itu.

Syafie atau Mohd Shafie Naswip, 27, berkata, semakin usianya meningkat dia semakin merindui Allahyarham terutamanya jika dia berhadapan dengan masalah.

"Semakin aku berumur, tipu kalau akau tak rindu dengan arwah. Setiap tahun menjelma, tika itu hati aku bergoncang rasa nak peluk arwah.

"Tambah-tambah bila aku sedang ada masalah. Hanya tuhan yang tahu mana aku nak cari kekuatan untuk pulihkan kembali semangat. Sin (Mohsin) rindu awak," katanya menerusi Instastory pada Ahad.

Syafie memuat naik foto kenangan bersama Sharifah Aryana dan arwah Yasmin Ahmad ketika membintangi filem Mukhsin.

Syafie mula dikenali menerusi filem Mukhsin arahan Yasmin dengan memegang watak sebagai Mukhsin pada tahun 2007.

Selain Syafie, filem yang pernah menjadi fenomena ketika itu turut dibintangi oleh adik kepada Sharifah Amani iaitu Sharifah Aryana yang memegang watak sebagai Orked.

Pengarah filem terkenal itu menghembuskan nafas terakhir akibat pendarahan teruk di bahagian otak di Hospital Pakar Damansara.

Allahyarham yang ketika itu berusia 51 tahun meninggal dunia pada 25 Julai 2009 selepas tiba-tiba rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3 sebelum dikejarkan ke hospital.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.



Artikel Berkaitan

Artikel Lain