suria

Nana Sheme lega tunaikan janji bapa buat arwah ibu

Nana bersama bapanya.

PENYANYI yang terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya iaitu Nana Sheme tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian buat sementara waktu bagi memberi perhatian kepada pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi berkata, apa yang dilakukan itu adalah bagi menunaikan janji yang dibuat oleh bapanya kepada arwah ibu.

"Alhamdulillah pengorbanan saya meninggalkan muzik ketika nama sedang meningkat naik sangat berbaloi.

"Memang saya rasa sayang ketika membuat keputusan itu tapi saya mahu tunaikan janji ayah kepada arwah ibu saya yang mahu kami adik beradik berjaya dalam akademi. Sebagai anak sulung saya perlu jadi contoh yang baik kepada adik beradik lain," ujarnya mStar Online.

Nana menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur pada majlis Istiadat Konvokasyen ke-90, Rabu lalu.


Nana Sheme akan fokus bina nama semula.

Dalam pada itu, Nana berkata, dia kini sudah mendapat lampu hijau daripada bapanya untuk aktif semula di bidang nyanyian.

Bagaimanapun, Nana akui dia perlu bermula dari awal semula untuk menempa nama dalam industri muzik.

"Dulu ayah benarkan saya menyanyi sebagai hobi sahaja tapi sekarang ayah sudah beri lampu hijau untuk saya meneruskan kerjaya nyanyian.

"Sekarang saya anggap saya penyanyi baru dan saya perlu mula semula daripada awal. Saya tahu untuk kembali semula dalam industri perlukan usaha dua kali ganda berbanding dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kerjaya nyanyian, Nana yang kini bernaung di bawah Xeno Asia bakal keluar dengan single baharu tidak lama lagi.

Dia juga mencari lagu yang boleh memberi impak dan mengembalikan namanya dalam industri muzik tanah air.

Nana Sheme, Hantu Atau Buaya

Artikel Lain