suria

Nasib baik isteri menjerit tersedar telefon terbakar - Jehan Miskin

Jehan tidak menyedari telefon pintar miliknya terbakar ketika dia sedang lena tidur.

PELAKON Jehan Miskin menceritakan detik-detik cemas apabila telefon bimbit miliknya terbakar ketika dia dan isterinya, Julie Camelia Rhee nyenyak tidur.

Jehan, 39, berkata dia tidak menyedari kebakaran tersebut disebabkan terlalu penat dan hanya terjaga daripada tidur selepas mendengar jeritan isteri yang melihat seakan-akan bajunya terbakar.

"Dua, tiga hari ini, saya sibuk menjalani penggambaran dan malam kejadian itu saya penat dan tidur awal. Telefon pula saya letak sebelah tepi katil untuk dicas.

"Tiba-tiba tengah malam isteri terjaga dan menjerit dalam keadaan panik menyebabkan saya terus terbangun. Waktu itu, saya tak tahu lagi apa yang terjadi.

"Isteri kata dia nampak baju saya macam terbakar. Apabila saya toleh ke belakang, rupa-rupanya cadar katil dan telefon saya sudah terbakar," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Keadaan telefon pintar milik Jehan selepas terbakar.

Jehan ada memuat naik foto keadaan telefon pintar miliknya yang hancur disebabkan terbakar ketika dia dan isteri sedang tidur di laman Instagramnya pada Selasa lalu.

Menurut Jehan, isterinya terbangun daripada tidur selepas mendengar bunyi kebakaran dan terhidu bau besi terbakar.

Kata Jehan, kejadian itu berkemungkinan terjadi disebabkan kabel atau bateri telefon bimbitnya yang telah ditukar pada awal tahun ini.

"Nasib baik isteri terjaga selepas dengar bunyi dan bau seperti besi terbakar. Dia juga terus mencabut kabel pengecas supaya kebakaran tidak teruk.

Isteri Jehan terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi kebakaran dan terhidu bau seakan besi terbakar.

"Tak tahu lagi apa punca sebenar berlakunya kebakaran itu sebab awal tahun ini saya ada tukar bateri dan kabel pengecas tu saya guna yang original," ujarnya.

Dalam pada itu, Jehan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama mengecas telefon ketika sedang tidur.

"Selepas kejadian itu, saya memang tidak akan lagi mengecas telefon ketika tidur. Masalah utama adalah tidur bukan waktu kita mengecas bateri itu.

"Sebab bila kita tidur, tak akan sedar apa yang berlaku. Tidak kira di waktu siang atau malam. Jadi, kalau nak cas telefon kena pastikan dalam keadaan berjaga atau bawa powerbank," katanya memberi nasihat.

Jehan Miskin

Artikel Lain