suria

Alumni Aswara bersatu hasilkan teater muzikal 'Datuk Onn Jaafar'

Teater muzikal Datuk Onn Jaafar bakal dipentaskan pada 21 dan 22 Disember ini.

SERAMAI 49 alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bergabung tenaga menerbitkan sebuah teater muzikal mengangkat mengenai perjuangan tokoh negara, Datuk Onn Jaafar.

Pelakon yang juga presiden Persatuan Alumni Aswara, Zul Huzaimy memberitahu pihaknya hanya mengambil masa tiga minggu untuk melakukan persediaan pementasan teater muzikal tersebut yang akan dipentaskan selama dua hari pada 21 dan 22 Disember ini.

"Ini adalah projek pertama saya sebagai presiden dan Alhamdulillah kami diberi kepercayaan oleh Parlimen Malaysia bagi menerbitkan teater muzikal ini.

"Paling utama teater muzikal ini dihasilkan sepenuhnya oleh alumni Aswara yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing termasuk pelakon, krew produksi, penulis skrip dan pengarah muzik.

"Memang menjadi harapan kami di alumni Aswara untuk bergiat aktif dalam penerbitan teater seperti ini dan Alhamdulillah projek ini adalah permulaan yang baik," katanya.

Teater muzikal Perjuangan Datuk Onn Jaafar bakal dipentaskan secara percuma di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat Johor, pukul 8 malam.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Zaini Arjuna, Nina Fazurina, Akmal Ahmad, Hairi Safwan, Ken Ridzuan dan Alumni Aswara.

Teater arahan Along Eyzendy itu diadakan bersempena dengan program Parlimen Outreach di Batu Pahat, Johor.

Dalam pada itu, Zul yang juga bekas penuntut Aswara dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teater pada tahun 2000 memberitahu walaupun mengambil masa singkat namun mereka tidak menghadapi halangan sukar menghasilkan teater muzikal tersebut.

Ini kerana kata Zul, kesemua yang terlibat mempunyai pengalaman terutamanya dalam bidang teater dan ia memberi kelebihan dalam produksi tersebut.

"Menerusi teater ini kita ingin menghasilkan sesuatu yang santai tetapi pada masa sama memberi banyak informasi di sebalik perjuangan tokoh negarawan kita itu.

"Konsep muzikal adalah paling sesuai untuk tujuan itu dan kami sangat bertuah kerana penulis skrip dan pengarah muzik banyak membantu kepada hala tuju teater muzikal ini.

"Alhamdulillah walaupun tempoh singkat, kesemua terlibat sangat berpengalaman jadi ia memudahkan proses latihan," katanya.

Artikel Lain