suria

“Kalau tak cekal hati, boleh gila dibuatnya” - Nina Iskandar

Nina Iskandar memberitahu berasa letih dan tertekan apabila terlalu banyak menangis ketika menjayakan wataknya dalam drama Isteri Dalam Sangkar. Foto AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Pelakon Nina Iskandar memberitahu pernah meminta pihak produksi drama bersiri Isteri Dalam Sangkar mencari pengganti kerana berasa tidak mampu membawa watak sebagai Siti Aisyah yang berat dan memerlukannya banyak menangis.

Nina berkata, permintaan itu dibuat kerana berasa letih kerana terlalu banyak menangis sehingga membuatkan dia berasa tertekan dan enggan meneruskan penggambaran.

"Bayangkan betapa tertekannya saya sehinggakan minta produksi cari pengganti kerana saya rasa memang tak boleh bawa watak itu yang terlalu berat.

Nina bergandingan dengan Azrel Ismail dalam Isteri Dalam Sangkar. 

"Adakalanya penggambaran bermula seawal 8 pagi dan berakhir 6 pagi keesokan harinya dan kebanyakan babak saya perlu menangis.

"Esoknya saya kena menangis lagi... Jujur saya cakap kalau tak cekal hati memang boleh gila saya dibuatnya," katanya.

Nina ditemui pada majlis pelancaran Isteri Dalam Sangkar yang diadakan di Resoran Mohd Chan, Bandar Sunway di sini, Sabtu.

Nina sinonim dengan watak air mata.

Kata pelakon berasal dari Brunei ini, dia tetap meneruskan penggambaran kerana tidak mahu berputus asa selain ingin menyelesaikan kepercayaan diberi pengarah sebaiknya.

Dalam pada itu, Nina memberitahu dia sebenarnya sudah berasa letih apabila sering membawa watak berat dan berendam air mata dan berharap diberi peranan berbeza selepas ini.

Malah kata Nina, peminatnya juga memintanya untuk tidak lagi membawakan watak menangis kerana berasa kasihan dengan dirinya.

Barisan pelakon Isteri Dalam Sangkar bersama penerbit dan penaja.

"Jujurnya saya memang letih juga asyik bawa watak berat tetapi saya terima kerana itulah rezeki saya malah peminat pun berasa kasihan dengan sebab terpaksa tengok saya asyik teraniaya dan menangis dalam drama.

"Kalau ada pilihan teringin juga bawa watak berbeza, harap-harap ada yang tawarkan selepas ini," ujarnya.

Pun begitu kata Nina, Isteri Dalam Sangkar mengangkat kisah menarik dengan pelbagai konflik selain gandingan pelakon menghidupkan cerita adaptasi novel itu.

Nina serasi bergandingan dengan Azrel.

Selain Nina, drama 30 episod arahan Ejump Mohd itu turut menampilkan Azrel Ismail, Aidil Aziz, Aishah Azman, Sherry Merlis, Ungku Haris dan Nazia Mustaffa.

Ia sedang disiarkan menerusi HyppSensasi (Unifi TV 116) dan Play TV @Unifi pada setiap Rabu dan Khamis, 9.30 malam.

Artikel Lain