suria

“Wajah begini tak mungkin jadi artis” – Jay Iswazir terpaksa tipu ibu

Jay pernah patah hati kerana faktor wajah menjadi ukuran untuk dia diterima berlakon.

PELAKON Jay Iswazir mengakui pernah berkecil hati apabila tidak diberi peluang berlakon hanya kerana dikatakan tidak memiliki wajah komersial untuk menjadi seorang artis.

Tanpa berselindung, Jay, 36, berkata dia tidak mendapat sokongan ketika di awal pembabitannya sebagai anak seni kerana faktor rupa.

"Saya bermula dengan watak tambahan tapi tu pun orang tak ambil sebab wajah saya. Saya pernah patah hati kerana hal itu.

"Tapi saya cuba cari semangat dengan berjumpa otai-otai dan mereka inilah yang membuatkan saya lagi kuat serta tak putus asa," katanya kepada mStar Online.

Jay membuktikan dia memiliki bakat sebagai seorang pelakon.

Demi merealisasikan impiannya itu, Jay memberitahu dia pernah menipu ibunya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

Ujarnya, apa yang dilakukan itu adalah demi mencapai cita-cita untuk bergelar seorang pelakon.

"Saya pernah tipu emak kononnya pergi KL sebab nak sambung belajar. Kalau beritahu nak jadi pelakon dia tak bagi sebab katanya dengan wajah begini tak mungkin saya jadi pelakon.

"Namun, jiwa saya memang kearah ini sebab itu saya nekad untuk buktikan kemampuan dan bakat saya sebagai anak seni.

Restu dan sokongan ibu membuatkan Jay terus bertahan dalam bidang seni.

"Selepas menyertai program realiti Pilih Kasih pada tahun 2010, baru emak beri restu. Saya masih ingat pesanannya, kalau rasa down, jangan mengadu dekat sesiapa tapi mengadulah dengan Allah," katanya.

Dalam pada itu, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) menerusi Aku Nazmi ini berkata peluang untuknya menonjolkan bakat kini semakin terbuka luas.

"Alhamdulillah, anugerah yang saya terima itu adalah sebagai pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras lagi.

"Saya sudah buktikan kemampuan diri dan tidak akan sesekali mengalah atau berputus asa dalam bidang seni ini," ujarnya.

Jay Iswazir

Artikel Lain