suria

Zamani lupa lirik ke final GV5, Forteen, Hetty Sarlene tersingkir

Hetty Sarlene dan Forteen gagal ke peringkat akhir Gegar Vaganza musim kelima.

SHAH ALAM: Impian penyanyi Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen untuk mara ke final Gegar Vaganza musim kelima (GV5) terhenti apabila mereka diumumkan peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir program itu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Penyingkiran itu membolehkan enam peserta lain iaitu Amelina, Zamani, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Dia Fadilla dan dua berkumpulan Billy Zulkarnain bakal berentap merebut gelaran juara pada peringkat akhir minggu hadapan.

Paling mengejutkan Zamani yang terlupa lirik ketika menyanyikan lagu Dekat Padamu pada persembahan pertama layak ke final sementara lagu keduanya iaitu Di Matamu mendapat pujian juri.

Peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir itu, Hetty menyampaikan dua buah lagu, Pencuri Hati nyanyian asal Ayda Jebat dan Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah).

Manakala Forteen mempersembahkan lagu Potret (Akim & The Majistret) & Cinta Di Akhir Garisan (Ziana Zain, Ning Baizura, Nora, Dessy Fitri).

Kesemua peserta diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam.

Hetty Sarlene. 

Yusof selaku juri jemputan memberitahu Forteen seakan tidak konsisten sejak daripada minggu pertama selain hanya melabel persembahan mereka sebagai 'ok'.

“Saya mengikuti persembahan anda bermula daripada minggu pertama lagi, ada masa naik ada masa turun.

“Namun saya tahu anda telah mencuba yang terbaik dan persembahan malam ini bagi saya okay,” kata Yusof.

Persembahan Hetty yang juga diadili Yusof bagaimanapun mendapat pujian daripada pengarah dan penerbit terkenal itu.

“Di awalnya saya bimbang awak tidak dapat ‘carry’ lagu ini, terfikir macam awak berlakon pula.

Zamani mara ke peringkat akhir. 

“Namun akhirnya awak dapat ekpreskan vokal dan gaya muka dengan baik,” tambah Yusof.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse bertindak sebagai hos GV5 yang disiarkan menerusi Astro Ria dan Ria HD.

Sementara itu, peringkat final GV5 buat pertama kali bakal memperlihatkan para peserta bakal mengadakan persembahan duet dengan artis undangan selain pusingan battle.

Berikut adalah senarai lagu duet untuk peringkat final GV5 minggu hadapan;

1. Laskar Cinta (Dewa 19) duet bersama Awi Rafael - Noryn Aziz

2. The Power of Love (Celine Dion) duet bersama Bob - Amelina

3. Makin Aku Cinta (Anang & Krisdayanti) duet bersama Ajai - Dia Fadilla

4. Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor) duet bersama Ernie Zakri - Maya

5. Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi & Datuk M. Nasir) duet bersama Ameng - Zamani

6. Curiga (Ning Baizura) duet bersama Idayu - Billy Zulkarnain

Peringkat akhir GV5 bakal berlangsung 19 November bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Gegar Vaganza

Artikel Lain