suria

Kejayaan filem aksi beri Darling keyakinan angkat kisah anggota bomba

Darling Ngasri meletakkan harapan filem pertamanya, Hero akan diterima baik oleh penonton apabila ia ditayangkan kelak.

KEJAYAAN beberapa filem aksi mengangkat badan beruniform seperti Polis Evo dan Paskal yang pecah panggung memberi keyakinan kepada penerbit filem Hero untuk tampil dengan kisah mengenai anggota bomba dan penyelamat.

Penerbitnya, Darling Ngasri memberitahu kisah mengenai golongan itu yang jarang diketengahkan kepada umum menarik perhatiannya namun ia bukan tugas mudah kerana perlu memastikan jalan cerita dan konsep ditampilkan dapat memenuhi cita rasa penonton.

"Apabila tengok trend filem aksi badan beruniform yang laris di panggung memang menjadi pemangkin semangat untuk buat genre sama tetapi ia sebenarnya bukan mudah.

"Sebagai penerbit saya kena pastikan jalan ceritanya perlu menarik dan untuk filem ini sahaja kami merombak lapan kali skrip sehingga betul-betul puas hati selain pemilihan barisan pelakon yang tepat.

Barisan pelakon filem Hero ketika berada di set penggambaran.

"Bagi menyuntik kelainan kami tampil dengan genre aksi komedi agar ia tidak terlalu berat namun masih sarat dengan elemen aksi dan mendebarkan," katanya.

Darling ditemui ketika berada di set penggambaran filem itu yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa lalu.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisha Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Diarahkan oleh Azizi Chunk Adnan, Hero mengangkat kisah suka duka mengenai anggota bomba dan ia dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Mark Adam dan Hisyam Hamid memegang watak utama.

Dalam pada itu, Darling berkata, dia tampil dengan filem pertamanya kerana merasakan sekarang adalah masa paling sesuai memandangkan dia terlebih dahulu menimba pengalaman menerbitkan drama sejak 2003.

Kata Darling, kemunculan filem ini adalah seperti pengesahan atas segala usaha dan pengalaman ditimbanya sebelum ini sebagai penerbit.

"Sebelum ini selama 15 tahun saya aktif menerbitkan drama dan sepanjang tempoh itu banyak pengalaman dan cabaran telah saya tempuhi dan sekarang sudah tiba masanya saya tampil dengan filem.

"Menghasilkan filem ini seperti menamatkan pengajian di universiti dan sebagai penerbit saya menaruh harapan besar untuk melihat filem ini berjaya dan dapat menarik penonton ke pawagam," katanya.

Syafiq Farhain. 

Bercakap lanjut mengenai Hero, Darling memberitahu ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada versi Hero The Series yang ditayangkan di TV2 sebelum ini.

"Untuk versi filem ia menampilkan kisah dan jalan cerita selain pemilihan pelakon yang berbeza kerana kami ingin tampilkan kelainan kepada asas sedia ada.

"Alhamdulillah penggambaran berjalan lancar tambahan pula sokongan daripada JBPM memudahkan segala urusan kerana sebelum ini pun kami pernah bekerjasama untuk penghasilan drama bersiri Hero," ujarnya yang membelanjakan RM1.5 juta untuk filem itu.

Artikel Lain