suria

Sikap bongkak... pekerja syarikat grafik bakal diheret ke mahkamah sebar ‘Munafik 2’

Yusof Haslam (tiga dari kanan) kesal dengan penyebaran filem Munafik 2 secara haram. Turut kelihatan Syamsul (dua dari kanan) dan mereka yang terlibat dalam filem berkenaan.

AMPANG: Seorang kakitangan sebuah syarikat grafik di Perak bakal berhadapan tindakan undang-undang kerana didakwa menyebarkan filem Munafik 2 secara haram di laman Internet.

Pengarah dan pelakon Munafik 2, Syamsul Yusof menerusi peguam yang dilantik telah memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak, awal minggu ini.

Syamsul berkata, dia kesal dengan penyebaran itu dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai satu pengajaran kepada pemuda berkenaan.

“Perbuatan ini adalah satu barah dalam industri filem kita. Kita pun tahu industri sedang berada dalam landasan yang baik tapi bila isu ini masih ada, susahlah.

“Pendapat saya, pihak penerbit, pengarah dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian isu ini.

“Sampai bila pengkarya harus dihantui perkara ini? Apa guna dana diberi, buat filem, tapi akhirnya bocor,” ujar Syamsul.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Indonesia menangis tonton ‘Munafik 2’

Dia ditemui sewaktu sidang media Pelanggaran Hak Cipta Digital Skop Production Sdn Bhd di Finas, Hulu Klang, pada Jumaat.

Hadir sama bapanya yang juga penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam.

Munafik 2 sehingga kini berjaya mengutip RM43 juta.

Tambah Syamsul, tindakan undang-undang yang diambil bukanlah semata-mata kerana ia berlaku ke atas filemnya, malah ia dibuat bagi kebaikan keseluruhan industri filem tanah air.

Dalam pada itu Yusof  turut meluahkan rasa kesalnya berhubung kebocoran filem itu.

“Ramai dah terkena benda ni, tapi sebelum ini ia diselesaikan dengan budi bicara, sebab pesalah padam video dan mohon maaf.

“Tapi pemuda ini sangat sombong dan bongkak, kita minta padam tapi dia semakin sebar, seolah-olah mencabar kami.

“Atas nasihat rakan-rakan pengeluar filem, kami ambil tindakan ini untuk kepentingan bersama,” ujarnya.

Mengulas mengenai kutipan filem itu, ia setakat ini berjaya mengumpul RM43 juta sejak ditayangkan bermula 30 Ogos lalu.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada 2016 berjaya meraih kutipan keseluruhan berjumlah RM17 juta.

Artikel Lain