suria

Betul ke Ramlah Ram semakin ‘slim’ sebab nak kahwin?

Perbezaan penampilan Ramlah Ram dua tahun lalu dan terkini selepas berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 20 kilogram.

PENYANYI Ramlah Ram menolak dakwaan dia mula memasang badan sehingga berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 20 kilogram disebabkan ingin mendirikan rumah tangga.

Sebaliknya kata Ramlah, 52, berkata dia nekad menurunkan berat badannya kerana berasa tertekan dengan penampilannya selain mahu menitikberatkan soal kesihatan pada usianya kini.

"Dalam usia begini tak terfikir dah soal kahwin... saya pun tak terdorong ke arah itu. Kalau ada jodoh itu adalah ketentuan Allah.

"Saya turunkan berat badan kerana tertekan melihat banyak baju yang tak boleh dipakai dan sebagai artis saya perlu mementingkan imej.

"Jujurnya apa yang saya lakukan ini adalah kerana diri sendiri, mahu jaga kesihatan dan demi peminat yang sentiasa menyokong saya dan bukan sebab ingin berkahwin," katanya.

Ramlah memberitahu dia mengamalkan diet sejak Ramadan tahun lalu.

Ramlah ditemui pada majlis pelancaran album Nada Seni Gema Lebaran Legenda pada Selasa.

Album yang menghimpunkan 24 lagu raya malar segar itu turut menampilkan barisan artis seperti Ziana Zain, Hael Husaini, Sanisah Huri, Syamel, Datuk Yusni Hamid, Fazli Zainal dan Salwa Abdul Rahman.

Menerusi album istimewa itu, Ramlah merakamkan kembali tiga lagu iaitu Ku Mohon Restu Ayah Bonda (nyanyian asal Mamat Exist), Seloka Hari Raya duet bersama Syamel (Uji Rashid & Hail Amir) dan Tibanya Syawal (Datuk Sharifah Aini).

Dalam pada itu, Ramlah berkata, ada segelintir rakan-rakan dan pengikutnya di laman sosial yang mengkritik berat badannya membuatkan dia turut nekad melakukan perubahan.

Kata Ramlah, dia menganggap kata-kata sinikal terhadapnya sebagai pemangkin semangat dalam memastikan dia sentiasa konsisten dalam menjaga pemakanan.

Ramlah memberitahu disiplin kunci kepada kejayaannya mengurangkan berat badan.

"Sebelum ini berat badan saya 70 kilogram dan ada juga kawan-kawan 'membawang' (mengata) pasal saya tetapi itulah orang kata buat kita semangat.

"Paling penting saya masih mahu menyanyi dan baju-baju dari 10 tahun lepas masih saya simpan sebagai motivasi dan Alhamdulillah sekarang dah boleh pakai kembali," katanya.

Berkongsi mengenai rahsia tubuh langsingnya, Ramlah berkata, dia mula mengamalkan diet ketat tanpa mengambil karbohidrat dan gula sejak Ramadan tahun lalu.

Kata Ramlah, pada awalnya ia memang sukar kerana sudah terbiasa dengan pengambilan nasi namun dia nekad untuk membuat perubahan dalam hidupnya.

"Saya mula mengamalkan diet ketat sejak bulan puasa tahun lalu dan bayangkan ketika hari raya saya hanya tengok sahaja lauk pauk yang terhidang di atas meja sebab kebanyakannya karbohidrat dan berminyak.

"Memang sukar tetapi disiplin kena kuat, itu sahaja rahsianya dan Alhamdulillah selepas hampir setahun saya berjaya mengekalkan cara pemakanan sihat kerana sudah terbiasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramlah berkata, selepas sambutan Aidilfitiri dia akan kembali ke studio untuk merakamkan single terbaharunya.

Ramlah Ram

Artikel Lain