suria

“Kontrak Salam HD disambung lebih penting dari kisah kahwin lagi” - A. Aida

A. Aida dilanda gosip baharu.

KUALA LUMPUR: Ketika dihimpit kontroversi kononnya mempunyai kekasih baharu, produser A. Aida sebenarnya mempunyai berita gembira lain apabila kontraknya sebagai pengeluar program bagi saluran Salam HD di Hypp TV disambung lagi.

A.Aida atau Zaidah Awang, 47, berkata, syarikatnya diberi kepercayaan menerbitkan rancangan untuk saluran itu bagi tempoh tiga tahun akan datang yang berkuatkuasa 5 Mei lalu. 

“Tahun ini merupakan tahun keempat pihak Hypp TV memberi kepercayaan kepada syarikat saya untuk menguruskan Salam HD. Ia sesuatu yang amat membanggakan,” katanya. 

Tambah A.Aida, antara sebab pihaknya terus diberi peluang sebagai penyedia kandungan saluran itu ialah kemampuan syarikatnya yang memiliki kumpulan produksi sendiri. 

Ujarnya, setakat ini A.Aida production telah membekalkan kira-kira 300 jam rancangan bagi saluran berkenaan yang lebih kepada kandungan berbentuk Islamik. 

Ia meliputi 60 peratus rancangan berkisar ceramah agama pelbagai genre manakala 40 peratus lagi ialah drama dan juga dokumentari.

A. Aida (dua dari kanan) bersama para artis dan mereka yang terlibat pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, di Restoran Rebung baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Ariff Aziz (kiri).

Katanya antara rancangan yang mendapat sambutan di saluran itu ialah Ceritaku, Diari Ustaz, Syukurlah, Cerita Bintang, Ustaz Masak dan Jalan-Jalan. 

Setakat ini dianggarkan seramai 1.2 juta orang menjadi pelanggan unifi, penyedia internet berkelajuan tinggi yang memiliki saluran Hypp TV.

Dalam perkembangan lain mengenai gosip kononnya dia bakal bernikah September ini dengan pelakon baharu berusia 29 tahun iaitu Ariff Aziz, A. Aida berkata, perkara berkenaan ialah gosip semata-mata. 

Ujarnya, Ariff ialah antara indivdiu yang berlakon dalam karya terbitan syarikatnya iaitu filem Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda yang menjalani penggambaran di Johor sejak awal Ramadan lalu. 

Menurut A. Aida, dia kurang selesa dengan gosip tersebut kerana sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan pelakon muda iaitu Ahya Rosli. 

“Ini semua gosip mungkin kerana ramai yang melihat saya kerap keluar dengan pelakon bawah syarikat saya. 

“Buat masa ini belum ada perancangan untuk kahwin lagi,” kata ibu tunggal beranak tiga ini.

Ujarnya, sebagai ahli perniagaan cerita mengenai bisnesnya seperti kontrak berkenaan disambung lebih penting berbanding gosip kononnya dia mahu kahwin.

A. Aida

Artikel Lain