suria

Seluar dalam Izzue Islam laris dalam masa 3 hari

Izzue Islam akan terus menjual boxer atau pakaian dalam lelaki.

PELAKON dan penyanyi Izzue Islam tidak menyangka usahanya menjual pakaian dalam lelaki atau boxer mendapat sambutan luar biasa meskipun ada segelintir pihak skeptikal dengan perkara itu.

Dedah Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, boxer tersebut yang sepatutnya dijual bersempena sambutan hari raya habis hanya dalam masa tiga hari ketika ia dilancarkan sebelum bulan Ramadan.

"Memang ada orang macam pelik apabila saya cakap nak jual boxer tetapi saya tak kisah dengan apa juga pandangan orang terhadap saya.

"Pada saya ia tidak pelik pun kerana ia adalah benda yang menjadi sebahagian dalam kehidupan seharian kita.

"Alhamdulillah percubaan saya nampaknya membuahkan hasil dan semua boxer itu habis terjual dalam masa tiga hari sahaja," katanya kepada mStar Online.

Izzue Islam.

Dalam pada itu, Izzue berkata, dia tidak kisah dengan pandangan serong masyarakat kerana apa dilakukan bukan satu kesalahan.

Malah kata Izzue, dia merancang untuk mengeluarkan boxer berkenaan dalam kuantiti lebih banyak selain pilihan pelbagai sebagai salah satu produk bawah jenamanya, IzzuExclusive.

"Sebelum ini saya memang keluarkan sedikit sahaja kerana nak tengok pasaran macam mana dan tak sangka pula sambutan sangat luar biasa.

"Saya dah pun merancang untuk keluarkan kuantiti lebih banyak selepas ini dengan rekaan dan corak pelbagai bagi membolehkan penggembar boxer membuat pilihan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Izzue berkata, bersempena Aidilfitri nanti dia bakal muncul menerusi beberapa drama seperti Tok Adi dan Din Sardin.

Selain itu dia juga akan muncul menerusi slot Akasia di TV3 menerusi drama bersiri Jangan Bencinta Cinta.

Izzue Islam, IzzuExclusive

Artikel Lain