suria

Awal Ashaari beri amaran pengurus artis larikan wang

Awal Ashaari mendedahkan seorang pengurus artis terkenal melarikan wang miliknya.

PENGACARA dan pelakon Awal Ashaari memberitahu dia masih boleh bersabar dengan sikap seorang pengurus artis terkenal yang melarikan wang miliknya bagi sebuah projek sekitar dua tahun lalu.

Awal berkata, dia masih ingin memberi peluang kepada individu itu melunaskan hutang tersebut secara baik namun dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya individu itu masih berdegil.

"Pada ketika ini tahap kesabaran saya masih ada kerana memikirkan dia adalah kawan dan pengurus kepada pasangan selebriti terkenal, jadi saya tidak mahu menutup periuk nasinya dengan mendedahkan namanya.

"Tengok dulu dia nak bayar ke tak... saya masih berinya peluang tetapi kalau dengan menggunakan peguam pun tak jalan juga saya tiada pilihan selain membawanya ke mahkamah.

Awal bersama isteri, Scha Al-Yahya dan anak mereka, Lara Alana.

"Dia pun saya tengok bukanlah susah orangnya, kehidupannya mengalahkan selebriti jadi rasanya tiada masalah untuk bayar wang saya," katanya.

Awal ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta kenderaan MPV Weststar Maxus bersama isteri, Scha Al-Yahya dan anak perempuan mereka, Lara Alana pada Isnin.

Bekas pengacara Melodi itu sebelum ini pernah mendedahkan di Instagram miliknya mengenai seorang individu yang enggan membayar wangnya dan meminta individu itu tidak melarikan diri.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Awal berkata, selepas projek tersebut selesai dia meminta individu tersebut menyimpan terlebih dahulu wang bayarannya kerana mempercayainya selain mempunyai kontrak perjanjian.

Bagaimanapun kata Awal, individu itu mula memberikan pelbagai alasan apabila dia meminta wang miliknya sehingga dia terpaksa mendedahkan isu itu di Instagram.

Beraya kereta baharu... Schawalara dilantik sebagai duta kenderaan MPV Maxus G10.

"Memang kadang-kadang saya biarkan dahulu bayaran yang sepatutnya diterima kerana berpegang kepada kontrak dan atas dasar percaya kepada individu tersebut.

"Tetapi apabila kita baik dengan orang, mereka pijak pula kepala kita dan jujurnya saya memang tak sangka perkara ini terjadi. Ia kali pertama buat saya!

"Ini saya sampai terpaksa guna Instagram minta duit saya. Saya pula macam peminta sedekah!," ujarnya.

Tambah Awal, sejak dia membuat pendedahan itu ramai dalam kalangan orang industri hiburan dan selebriti menghantar mesej kepadanya memberitahu pernah menjadi mangsa individu tersebut.

Schawalara bakal meraikan hari raya di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Awal berkata, walaupun menjadi mangsa penipuan rakan sendiri namun dia tetap bersyukur kerana rezekinya dan keluarga bertambah murah.

Malah kata Awal, dia sendiri tidak menyangka dia sekeluarga ditawarkan sebagai duta Maxus G10 selepas dia sendiri menggunakan kenderaan MPV itu sejak tahun lalu.

"Sejak ada Lara saya memang mencari kereta yang lebih besar dan tahun lalu saya beli kereta Maxus G10 dan pada awal tahun ini tiba-tiba dapat panggilan mereka ingin 'upgrade' kenderaan kami dengan model baru.

"Ketika berjumpa dengan pihak pengurusan Weststar Maxus mereka sebaliknya menawarkan saya bersama keluarga sebagai duta.

"Saya bersetuju kerana saya memang pengguna kenderaan ini dan ia memang bekualiti dan setanding dengan MPV daripada jenama mewah lain," katanya.

Awal Ashaari

Artikel Lain