suria

“Tiada Nak Sayang-Sayang” - Emma Maembong

Emma senang bekerjasama dengan Alvin dan mereka sentiasa menyokong satu sama lain. Foto NORAFIFI EHSAN.

AKTRES Emma Maembong menganggap keserasiannya dengan pelakon Alvin Chong ketika di dalam atau luar set penggambaran tidak melebihi sebagai kawan baik sahaja.

Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 25, berkata, dia selesa bekerjasama dengan Alvin tanpa timbul perasaan cinta sehingga berasa kekok ketika berada di set penggambaran.

"Masa di set penggambaran memang kami memang kawan baik. Tiada nak sayang-sayang atau ada sesi luahan perasaan.

"Bila kita berlakon itu, nak lakukan babak lempang ke apa, jadi tak segan sebab kita kawan. Tak ada perasaan kekok. Kalau kita tangkap cinta, dah rasa malu-malu.

"Saya dah Alvin saling menyokong satu sama lain tetapi apabila orang kata suka gandingan kami ini, kira Alhamdulillah keserasian kami berjaya," kata Emma kepada mStar Online.


Peminat suka gandingan Emma dan Alvin. Foto Instagram @emmamaebong.

Emma berkata demikian sebagai respons kepada peminat yang sukakan gandingan mereka menerusi drama tersebut yang bersiaran pada September tahun lalu.

Rata-rata mereka mahu percintaan dalam drama itu menjadi kenyataan sehingga mewujudkan profil Instagram untuk berkongsi aktiviti mereka berdua.

Menurut Emma, dia mengakui setiap pelakon akan melalui saat itu apabila penonton terlalu setia dan menyokong sesebuah drama.

Baginya, perkara tersebut tidak salah namun soal percintaan tidak timbul kerana dia lebih selesa berkawan dengan Alvin.

"Keadaan ini sama macam gandingan saya dengan Aiman Hakim. Dulu orang nak sangat saya dengan dia. Sebenarnya benda itu dah terlalu banyak kali jadi.

Aiman dan Emma digandingkan menerusi drama Projek Memikat Suami dan Isteri Separuh Masa serta filem Kimchi Untuk Awak.

"Bila kita dah terlalu setia dan sokong drama itu, kita terbawa-bawa. Untuk perkara ini, saya rasa semua pelakon mesti akan lalui saat itu.

"Bukan saya je, pelakon lain yang mereka minat pun akan buat macam itu. Bagi saya tak salah, cuma soal percintaan tidak timbul.

"Saya selesa untuk berkawan sahaja. Dengan cara itu saya senang untuk bekerja dengan pelakon yang digandingkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Emma akan menjalani penggambaran drama yang diadaptasi daripada novel itu untuk edisi istimewa atau hari raya pada penghujung Januari.

"Insya-Allah saya mula masuk set drama itu pada penghujung Januari. Tak pasti lagi sama ada untuk edisi khas sebanyak lima episod atau raya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain