suria

Teruja Dayang Nurfaizah Di Singapura

Dayang Nurfaizah menyanyikan 25 buah lagu pada konsert sulungnya di Esplanade Theatre Singapura pada malam Isnin. Foto Ihsan INDIGITAL MUSIC

SINGAPURA: Penyanyi Dayang Nurfaizah memberitahu pemilihan lagu pada konsert sulungnya di Esplanade Theatre di sini kebanyakannya daripada permintaan peminatnya di negara ini.

Dayang, 36, berkata, dia gembira dapat merealisasikan impian dan permintaan peminat menerusi konsert yang berlangsung pada malam Isnin itu.

"Boleh dikatakan 90 peratus lagu dalam konsert ini adalah permintaan peminat yang dibuat di laman sosial.

"Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persembahan ini selain berasa teruja dapat menghiburkan selain merealisasikan permintaan peminat dan penyokong di Singapura," katanya kepada mStar Online.

Tiket menyaksikan konsert Dayang di Singapura habis terjual.

Konsert tersebut dihadiri kira-kira 1,600 penonton dan tiket menyaksikannya habis dijual sejak sebulan lalu.

Persembahan yang bermula pada pukul 8 malam memperlihatkan Dayang menyanyikan 25 buah lagu.

Selain lagu popular, Dayang turut mendendangkan lagu hit terdahulunya seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Erti Hidup, Kembalilah Sayang, Dayang Sayang Kamu, Coretan Cinta, Pintaku Terakhir dan Layarlah Kembali.

Dayang turut mendendangkan rangkaian lagu tribute untuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan sebagai memperingati komposer terkenal itu menerusi lagu Hembusan Asmara, Hakikat Cinta dan Hujan Lagi Hati Ini.

Dayang turut menyampaikan lagu tribute untuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Sementara itu, Dayang memberitahu konsert berkenaan disifatkan sebagai sebahagian pencapaian sepanjang perjalanan karier muziknya selama 20 tahun sebagai penyanyi.

Malah Dayang berharap, dia dapat merealisasikan harapan untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar untuk peminat di Malaysia sekiranya diberi peluang.

"Insya-Allah, perancangan itu ada, kalau boleh saya memang nak adakan konsert di Malaysia.

"Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada rezeki," ujar anak kelahiran Sarawak itu.

Dalam pada itu, Dayang turut berterima kasih kepada pihak Naza Kia Malaysia yang sudi menaja tiga buah kenderaan iaitu, Kia Grand Carnival, Kia Sportage dan Kia Sorento untuk sebagai pengangkutan rasmi wartawan dari Malaysia ke Singapura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain