suria

Mas Khan ‘Poyo’

Mas Khan tidak kisah digelar 'mat poyo'. Foto AZLINA ABDULLAH.

PELAKON Mas Khan tidak hirau dengan tanggapan orang ramai terhadap dirinya selepas mereka menonton filem terbaharu lakonannya iaitu Busker yang bakal ditayangkan pada 11 Januari depan.

Kata pemilik nama sebenar Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah, 23, ini, wataknya sebagai Daniel yang bersikap 'poyo' atau menjengkelkan mempunyai persamaan dengan dirinya yang sebenar.

"Sejujurnya watak Daniel itu ada sedikit persamaan dengan diri saya. Memang saya akui dalam dunia sebenar saya seorang yang ada sifat 'poyo' seperti itu.

"Malah, saya tidak kisah dan lebih suka orang gelar saya 'mat poyo' selepas menonton filem tersebut," kata Mas Khan kepada mStar Online.

Mas Khan ditemui ketika tayangan perdana filem itu yang diadakan di Mmcineplexes E@Curve, Damansara baru-baru ini.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini turut menampilkan pelakon seperti Daiyan Trisha, Hafeez Mikail, Anas Ridzuan dan Bulan.

Dalam pada itu, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot ini berkata, dia tidak kisah dengan gelaran tersebut kerana baginya ia petanda ada yang ingin mengambil tahu mengenainya.

Mas Khan lakukan yang terbaik untuk filem terbarunya. Foto Instagram @maskhan.

Kata Mas lagi, orang boleh menilai tentang dirinya kerana mereka tidak mengenalinya secara peribadi namun ia bukan gambaran keseluruhan tentang peribadi dan personalitinya.

"Saya suka kalau orang bercakap tentang saya kerana maknanya mereka mengambil tahu tentang saya... daripada orang tak nak tahu langsung.

"Selalunya kalau orang tak kenal saya, memang mereka akan cakap macam-macam tapi bila dah kenal mereka akan tahu siapa saya sebenarnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mas memberitahu dia bersyukur kerana karier lakonannya semakin berkembang malah jadualnya sudah pun padat sehingga Jun depan dengan tawaran berlakon.

Kata Mas, tiga buah filem, drama dan telefilem lakonannya juga akan menemui penonton tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, bermula Januari hingga Jun ini jadual saya sudah penuh. Tiga buah filem, drama dan telefilem lakonan saya akan keluar sepanjang waktu itu.

"Ada antaranya yang saya dipeluang untuk memegang watak utama. Saya anggap tahun baru ini sangat bermakna dan tahun untuk saya berusaha keras dalam karier," katanya.

Mas Khan, Busker

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain