suria

Nasir (Search), Wanita Sabah Putus Tunang

Nasir (Search) mengakui tidak jadi berkahwin pada Disember ini.

PEMAIN bes kumpulan Search, Nasir mengakui hubungannya dengan tunang, Henna Hassan, 35, sudah berakhir ekoran tiada persefahaman di antara mereka berdua.

Nasir, 57, berkata, perancangan untuk berkahwin dengan wanita berasal dari Sabah pada Disember ini juga dibatalkan.

"Kami bertunang hanya selepas dua bulan berkenalan dan hubungan mula bermasalah sejak itu mungkin kerana perkenalan terlalu singkat.

"Sekarang kami jarang berhubung dan dia pun seperti tidak lagi berminat untuk meneruskan perhubungan ini.

"Puncanya saya lihat kerana tiada persefahaman daripada segi ideologi, bahasa, budaya dan beberapa perkara berkaitan," katanya.

Search tampil dengan album terbaharu berjudul Katharsis.

Tambah Nasir, dia akan bertemu dengan keluarga wanita itu bagi memutuskan hubungan mereka secara baik.

Sebelum ini timbul desas-desus mengenai pasangan itu retak menanti belah selepas mengikat tali pertunangan sekitar April lalu.

Dalam pada itu, Nasir berkata, dia tidak berniat untuk menyelamatkan hubungan tersebut kerana merasakan masalah yang berlaku sekarang akan berlarutan pada masa akan datang.

Mengakui kecewa hubungan itu tidak menjadi namun Nasir berkata, dia positif dan tidak mahu terlalu berfikir mengenainya.

"Saya anggap tiada jodoh di antara kami... Saya tidak mahu masalah jangka panjang timbul di kemudian hari," jelasnya.

Nasir sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Suhaina Yahya dan mereka bercerai sejak lima tahun lalu.

Nasir, Search

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain