suria

Dramatis Omar Manan Meninggal Dunia

Omar Manan (dua dari kanan) ketika menerima lawatan sahabat-sahabatnya iaitu produser filem Datuk Yusof Haslam (kanan), Bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar (tiga dari kanan) dan bekas Presiden, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Norila Daud. FOTO: Ihsan Firhat Yasir.

PETALING JAYA: Dramatis dan bekas penerbit majalah iaitu Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini kira-kira pukul 12.40 pagi Jumaat akibat komplikasi penyakit diabetis.

Anak sulungnya, Nilly Wahida Omar, 46, berkata, Allahyarham pada mulanya dimasukkan ke hospital itu pada 14 Mac lalu akibat demam dan sakit perut namun penyakitnya bertambah serius apabila pihak hospital mengesan kuman dalam badan.

“Keadaan bapa saya bertambah teruk kerana dia ada kencing manis dan rawatan yang dibuat menyebabkan ia sukar untuk pulih sehinggalah kondisi kesihatannya menjadi semakin lemah,” katanya kepada mStar Online.

Dramatis Omar Manan Mula Sedar Akibat Jangkitan Paru-Paru

Jelas Nilly, selama mendapatkan rawatan sejak lapan bulan lalu, bapanya hanya memberi reaksi yang minimum kepada keluarga sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat.

Dalam bidang hiburan, Omar kerap berlakon drama pada era 1980-an dan awal 1990-an.

Drama Bakat antara yang menaikkan namanya selain beberapa drama lain.

Omar Manan ketika menerima rawatan di Hospital Selayang. Gambar ini dirakamkan oleh anaknya, Firhat Yasir yang dikongsi di laman Facebook miliknya.

Selain itu beliau pernah menjadi ketua pengarang penerbitan majalah dan akhbar tabloid antaranya Pesta, Pentas Dunia dan majalah kewanitaan iaitu Hawa pada 1990-an.

Kesemua penerbitan itu telah ditutup.

Isterinya Fauziah Rauf, 69, pula bekas wartawan akhbar Utusan Malaysia.

Rumahnya di Selayang Baru sering dijadikan lokasi penggambaran drama dan juga sesi fotografi artis untuk keluaran khas Hari Raya majalah terbitan syarikatnya.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham antara individu yang turut memainkan peranan untuk mewujudkan Festival Filem Malaysia (FFM) yang ketika itu dikelolakan bawah Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA).

Beliau bersama beberapa wartawan lain yang terlibat dalam festival berkenaan antaranya Aimi Jarr, Mustapha AR, Norshah Thamby, Bahyah Mahmood, Ahmad Idris dan Mustaffa Ton.

Dalam bidang politik pula, beliau merupakan Ketua Cawangan Umno, Selayang Baru sehingga hayatnya.

Selain seorang balu, Allahyarham meninggalkan empat orang anak berusia 38 hingga 46 tahun serta 13 orang cucu.

Jenazah dijangka akan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas solat Jumaat.

Omar Manan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain