suria

Dua Pencalonan AIM22 Beri Memori Indah Buat Syamel

Syamel tidak mengharapkan sebarang kemenangan pada Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syamel tidak menyangka lagu pertama ciptaannya berjudul Hidup Dalam Mati memberi memori indah kepadanya apabila ia tercalon menerusi kategori Lagu Pop Terbaik.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, berkata, pencalonan itu sahaja telah membuatkan dia berasa bangga kerana turut dicalon bersama nama besar seperti Faizal Tahir, Hazama dan Datuk Siti Nurhaliza.

"Saya langsung tidak pernah membayangkan lagu pertama ciptaan saya akan mendapat pengiktirafan seperti ini.

"Ia bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan kerana saya menonton AIM sejak kecil dan hari ini nama saya tersenarai bersama bintang-bintang besar dalam industri," katanya.

Syamel ditemui pada majlis pengumuman pencalonan lima terbaik AIM22 yang diadakan di sini, Khamis.

Bekas naib juara program Akademi Fantasia 2015 itu turut tercalon menerusi kategori Artis Baharu Terbaik.

AIM22 bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 18 Disember depan.

Syamel dan Hazama berentap menerusi kategori Lagu Pop Terbaik.

Sementara itu, Syamel berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi pada malam kemuncak AIM22 nanti kerana pencalonan diterimanya sudah memadai.

Jelasnya lagi, sebagai pendatang baharu dalam industri pencalonan itu sudah cukup membuatnya lebih bersemangat dalam meningkatkan karier seninya pada masa hadapan.

"Ini adalah memori manis dan pengalaman dalam karier saya. Sekiranya tidak menang pun tidak mengapa kerana pencalonan itu sendiri sudah cukup menggembirakan saya," katanya.

Dalam pada itu, Syamel berkata, kejayaannya pada hari ini juga adalah jasa bekas pengetuanya di AF2015 iaitu Edry Abdul Halim yang banyak memberi tunjuk ajar dan kepercayaan dalam mencipta lagu dan lirik.

Malah katanya, dia turut mendapatkan nasihat komposer terkenal itu ketika merakamkan single keduanya berjudul Lebih Sempurna.

"Lirik lagu berkenaan saya tulis sendiri manakala melodinya adalah gabungan saya, Edry dan Boy.

"Kepercayaan Edry banyak memberi saya inspirasi dalam menciptya lagu dan bantuannya membuat saya lebih yakin," katanya.

Syamel, AIM22

Artikel Lain