suria

Lydiawati Diberi Amaran Lewat Tiba Prosiding Kes Pukul

Lydiawati diberi amaran keras oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas lewat hampir tiga jam pada prosiding kes sengaja mencederakan seorang wanita pada Mac lepas.

KUALA LUMPUR: Pelakon Lydiawati diberi amaran oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Jumaat selepas lewat hampir tiga jam pada prosiding kes sengaja mendatangkan kececeraan kepada seorang wanita pada Mac lepas.

Lydiawati, 51, atau nama sebenarnya Salina Zaimon memberitahu Majistret Haslinda A. Raof yang mendengar kes itu, kelewatannya disebabkan dia baharu sahaja diberitahu perlu hadir ke mahkamah pada Jumaat.

Peguam yang mewakili tertuduh, Fatimah Zahrah Ramli turut memaklumkan kepada mahkamah bahwa tertuduh tidak menyedari mengenai prosiding berkenaan kerana menunggu pegawai penyiasat (IO) menghubunginya sebelum hadir ke mahkamah.

Haslinda turut memberi amaran wang jaminan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini sebanyak RM3,300 akan dinaikkan sekiranya dia tidak hadir atau lewat pada prosiding akan datang.

Lydiawati.
Terdahulu, Haslinda memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap pelakon filem Suami, Isteri dan... itu selepas dia tidak hadir pada perbicaraan yang sepatutnya bermula pada pukul 9 pagi.

Haslinda memerintahkan waran tangkap tersebut ditarik balik dan kes berkenaan disambung pada 22 Julai depan.

Lydiawati didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Sharifah Harnizam Wan Musa, 43, seorang peniaga warga Brunei dengan memukulnya menggunakan besi.

Ibu tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Safari 2, Lot 52 Jalan Mamanda 9, Ampang di sini, pada 6.30 petang, 24 Mac lepas.

Kes berkenaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak.

Sementara itu, Raihanah memberitahu, mahkamah telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Pada 25 Mac lepas, Lydiawati telah memuat naik dua video menunjukkan dirinya memukul seorang wanita di akaun Facebook miliknya sehingga menjadi viral.
Lydiawati

Artikel Lain