suria

Didie Alias Kurang Berlakon Kerana Diberi Watak 'Merepek'

Didie mengakui banyak menolak tawaran berlakon kerana watak diberikan kebanyakkannya merepek.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Didie Alias memberitahu dia sering menerima tawaran watak yang disifatkan sebagai 'merepek' daripada pihak produksi yang ingin mengambilnya berlakon.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 42, berkata, atas faktor itu juga dia terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana peranan tersebut tidak meninggalkan kesan kepada karier lakonannya.

"Saya sebenarnya memang sudah agak lama tidak berlakon bukan kerana tidak ada tawaran tetapi watak diberikan semuanya komedi yang merepek dan tidak mempunyai isi.

"Sebagai pelakon saya sudah jemu dengan watak-watak komedi yang tidak ada tujuan kerana apa yang saya perhatikan ia gagal meninggalkan kesan kepada penonton atau karier saya sendiri," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Didie berkata, situasi itu berlaku mungkin disebabkan orang menyangka dia hanya boleh membawa peranan menerusi watak komedi sahaja.

Kata Didie, pandangan tersebut salah kerana sebelum aktif sebagai pelakon komedi dia terlebih dahulu dikenali menerusi peranan lain.

"Saya suka watak komedi tetapi apabila sering diberikan peranan sama sehingga ada jalan cerita atau skrip yang merepek saya mula rasa bosan.

"Saya mampu membawa watak selain lawak malah sebelum ini pun saya bukannya pelakon komedi," katanya.

Sementara itu, Didie berkata, peluang berlakon menerusi telefilem Syahadah Yang Hilang arahan Ghaz Abu Bakar banyak memberi impak kepadanya karier lakonannya.

Malah kata Didie, ia bukti dia bukan seorang pelakon stereotaip dan mampu membawa peranan selain komedi.

"Saya perlu berterima kasih kepada Ghaz kerana percaya dengan bakat dan memberi peluang kepada saya membawa watak berlainan.

"Tetapi itu tidak bererti saya tidak mahu lagi mengambil tawaran komedi tetapi lebih selektif," katanya.
Didie Alias

Artikel Sebelum

Artikel Lain