suria

Acong (Sweet Child) Guna Wang Sendiri Terbitkan Lagu

Acong (tiga dari kiri) bersama anggota Sweet Child. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Acong sanggup mengeluarkan modal sendiri bagi menerbitkan single terbaharu kumpulannya iaitu Sweet Child berjudul Lepaskanmu.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat berkata, menerusi syarikatnya CKCS Entertainment, dia mengeluarkan RM8,000 untuk merialisasikan impian tersebut dan berharap lagu berkenaan dapat mengubat rindu peminat terhadap mereka.

"Single terbaharu ini saya boleh katakan kami terlibat secara langsung dalam penghasilannya termasuk rakaman, mereka kulit album termasuk video muzik.

"Saya sendiri keluarkan modal dan banyak yang kami belajar kerana sebelum ini semua syarikat rakaman uruskan.

"Biarpun pada awalnya agak susah tetapi Alhamdulillah urusan kami banyak dipermudahkan sepanjang menghasilkan lagu ini," katanya kepada mStar Online.

Acong berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single berkenaan di sini, Khamis.

Selain Acong, Sweet Child juga turut dianggotai oleh Yem (keyboard), Aalan (gitar), Ijan (bass) dan Pet (drum).

Lepaskanmu diedarkan oleh Indigital Sdn Bhd.

Kumpulan Sweet Child bersama wakil syarikat Indigital iaitu Pojie (tiga dari kiri).

Dalam pada itu, Acong berkata, selain menerbitkan single berkenaan dia juga bertanggungjawab terhadap perjalanan karier kumpulan itu memandangkan mereka kini bernaung bawah syarikatnya.

Kata Acong, dia sudah merangka pelbagai perancangan untuk Sweet Child selepas 16 tahun tidak tampil dengan sebarang produk terbaharu.

"Kami pernah lalui zaman sukar ketika awal kemunculan dahulu sehingga ada masanya langsung tiada duit untuk sewa van untuk bergerak ke tempat persembahan.

"Saya tidak mahu situasi itu berulang kembali dan sebab itu saya sendiri ingin menguruskan Sweet Child dan ingin memberikan yang terbaik bersempena kebangkitan semula band kami," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai Lepaskanmu, Acong berkata, lagu itu dicipta olehnya sendiri dan lirik karya Joey Daud. Ia sebenarnya telah pun siap hampir dua tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, perancangan untuk melancarkan single berkenaan tertangguh selepas dia menyertai Gegar Vaganza musim kedua tahun lalu.

"Saya anggap ia ada hikmah kerana ia dapat membantu dari segi promosi dalam memperkenalkan semula nama Sweet Child.

"Sekarang adalah masa paling sesuai melancarkan Lepaskanmu kerana peminat mula bertanya bila kami akan tampil dengan lagu baharu," jelasnya.

Sementara itu kata Acong, buat masa ini dia akan berehat seketika daripada dunia lakonan kerana ingin memberi fokus kepada aktiviti promosi dan persembahan bersama Sweet Child.

Malah katanya, kesan dari program Gegar Vaganza jadual mereka sudah pun padat dengan pelbagai undangan dan melihat ia kesab positif buat Sweet Child.

Sweet Child pada zaman kegemilangan mereka pada era 90-an pernah popular menerusi lagu seperti Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Yang Terlarang Itu Godaan dan Mainan Perkasihanmu.

Acong, Sweet Child

Artikel Lain