suria

Nabil Ahmad Mengaku Guna Mesin Taip, Tidak Mahir Komputer

Nabil berasakan lebih puas menggunakan mesin taip berbanding komputer.

PETALING JAYA: Pelawak Nabil Ahmad  dalam proses menulis skrip untuk sebuah filem yang bakal diterbitkannya sendiri tidak lama lagi.

Nabil berkata, untuk tujuan tersebut dia terpaksa membeli sebuah mesin taip menerusi laman jual beli dengan harga RM200 untuk keselesaannya menulis skrip.

"Saya kini sedang buat skrip sebuah filem yang akan saya terbitkan sendiri, buat masa ini sudah 20 muka surat disiapkan.

"Saya beli sebuah mesin taip lama berharga RM200 sahaja di laman web Mudah.my untuk kegunaan saya menaip skrip. Saya ada komputer riba, cuma saya tidak pandai nak pakai dan bila guna mesin taip ini rasa lebih selesa," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil berkata, idea untuk menulis skrip dan menerbitkan sebuah filem genre komedi adalah bertujuan memberikan kepuasan dirinya dalam berkarya.

Katanya, apa yang cuba disampaikan dalam filem tersebut adalah lawak-lawak yang sering bermain di fikirannya.

"Saya banyak bercerita kepada isteri saya dan selepas itu kami lupa sehinggalah dia menyuruh saya kumpulkan cerita-cerita itu untuk dijadikan sebuah filem.

"Saya buat semua itu adalah untuk kepuasan diri terutama dalam kebebasan untuk berkarya, jika kita berlakon dalam filem orang lain kita terikat dengan skrip mereka," ujarnya.

Tambah Nabil, dia sudah bertemu dengan pengarah Ghaz Abu Bakar bagi meneruskan hasrat menerbitkan filem berkenaan.

"Saya sudah jumpa Ghaz dan minta pendapat dia tentang jalan cerita yang saya ingin buat ini. Dia tertarik dan faham apa yang saya cuba sampaikan," ujarnya.

Nabil Ahmad

Artikel Lain