suria

Peserta Persis Suara Ziana Zain Juara Program Seiras Seirama

KUALA LUMPUR: Peserta berasal dari Negeri Sembilan iaitu Azlina Aziz muncul sebagai juara program Seiras Seirama yang diadakan secara langsung di Studio Satu, Pusat Penyiaran Astro di sini, malam Ahad.

Azlina, 28, yang memilih ikon Ziana Zain berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Pada peringkat akhir itu, Azlina menyampaikan lagu medley ikon pilihannya iaitu Tiada Kepastian dan Sangkar Cinta pada pusingan pertama.

Manakala pada pusingan kedua, Azlina tampil dengan persembahan duet bersama Aweera menerusi lagu Senja Nan Merah.

Dengan kemenangan tersebut, Azlina berjaya menumpaskan enam peserta lain iaitu Azri mewakili ikon Datuk Jamal Abdillah, Akira (Hafiz Suip), Norya (Mas Idayu), Zila (Ella), Azri (Faizal Tahir) dan Tyka (Misha Omar).

Azlina berduet dengan Aweera menerusi lagu Senja Nan Merah.

Azlina ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan ia hadiah untuk ikonnya, Ziana Zain.

"Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan ini walaupun ia di luar jangkaan saya.

"Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ziana yang telah memberi tunjuk ajar sepanjang berada dalam pertandingan ini," katanya.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk AC Mizal dan Mamat Khalid.

Azlina terkejut dipilih sebagai juara.

Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan suara, persembahan, gaya dan personaliti.

Seiras Seirama dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan program siaran langsung itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Seiras dan seirama merupakan sebuah program pencarian bakat nyanyian yang mencari peserta dengan suara persis ikon terkenal tanah air.

Bagi musim pertama, Seiras Seirama menampilkan ikon seperti Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Misha Omar, Ella, Mas Idayu, Hafiz dan Faizal Tahir.

Artikel Lain