suria

Selebriti TV3, Artis Bakal Lelong Pakaian Di Festival #Kamibersamamu

Penerbit Ekskutif Bersamamu, Mazlin Nordin (tiga dari kanan) bersama Pengurus Berita, Ehwal Semasa dan Sukan Media Prima Berhad, Feisal Malik dan Pengurus, Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima Berhad, Nawar Deress (paling kanan) bersama barisan artis pada sidang media festival #kamibersamamu di Sri Pentas Bandar Utama pada Rabu. Foto ART CHEN.
PETALING JAYA: Barisan personaliti TV3 bersama artis terkenal bakal melelong barangan peribadi mereka pada Festival #Kamibersamamu yang akan diadakan bersempena sambutan kesepuluh program Bersamamu.

Penerbit Eksekutifnya, Mazlin Nordin berkata, barisan selebriti yang terlibat juga turut membuka gerai jualan pada festival berkenaan di mana sebahagian hasil kutipan pada hari tersebut akan disumbangkan kepada Tabung TV3 Bersamamu.

"Alhamdulillah ramai barisan artis tampil ingin bersama-sama dalam menjayakan festival berkenaan dalam usaha pihak kami mengumpul dana Tabung TV3 Bersamamu.

"Selain menjual barangan di gerai masing-masing, selebriti yang terlibat turut menjual barangan peribadi milik mereka kepada pengunjung pada acara berkenaan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Sri Pentas di sini, Rabu.

Festival #Kamibersamamu bakal diadakan pada 19 Disember ini bertempat di Esplanade, Alamanda Putrajaya dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Antara selebriti yang dijangka hadir adalah Jaclyn Victor, Erra Fazira, Elizad Shariffudin, Dayang Nurfaizah, Syarul Ridzwan, Janna Nick, Ammar Asyraf, Azrel Ismail, Dayana Roza, Anis Al Idrus, Sarah Fazny, Sakura Band, Sandra dan Drama Band.

Festival #Kamibersamamu juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Sandra, Jaclyn dan Anis bakal memeriahkan festival berkenaan.

Selain lelongan barangan peribadi selebriti, festival itu nanti turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti gerai jualan, konsert mini, sesi ramah mesra selain permainan dan hiburan sambil beramal.

Dalam pada itu, Mazlin berkata, selain kehadiran selebriti, pihaknya turut membawa beberapa individu yang kehidupan mereka pernah dipaparkan dalam program Bersamamu untuk berkongsi kisah mereka bersama pengunjung.

"Sepanjang 10 tahun program itu bersiaran sudah banyak keluarga menerima sumbangan daripada Tabung TV3 Bersamamu dan sejak itu banyak kisah kejayaan daripada mereka yang berjaya mengubah nasib ke arah lebih baik.

"Atas dasar itu juga kami akan menjemput beberapa individu bagi berkongsi pengalaman tentang kisah mereka selain meningkatkan kesedaran dikalangan pengunjung yang hadir nanti," katanya.

Sementara itu, Mazlin berkata, sambutan kesepuluh Bersamamu telah mematangkan lagi program berkenaan selain ia mula membuka mata banyak pihak dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

"Pihak yang memerlukan itu sentiasa ada dan program ini telah membuka mata banyak pihak terutamanya penonton yang bukan sahaja membantu menyalurkan bantuan kewangan tetapi juga maklumat kepada produksi.

"Ini adalah harapan kami dalam mewujudkan sifat kebajikan dikalangan masyarakat dan kami sentiasa optimis dalam usaha mengumpul dana untuk membantu golongan tersebut," katanya.

Pihak TV3 juga berhasrat untuk menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan ikhlas boleh dibuat kepada Amanah Raya Bhd Tabung TV3 Bersamamu BSM menerusi akaun Maybank 564-324-129-973.

Artikel Lain