suria

Faizal Tahir Teruja Ibu Mahu Tonton Konsert Selepas 9 Tahun Jadi Penyanyi

Faizal Tahir. - foto SHAARI CHE MAT/The Star

KUALA LUMPUR: Penyanyi Faizal Tahir teruja apabila ibunya buat pertama kali meluahkan hasrat ingin hadir pada konsertnya iaitu One Night Only yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 30 November ini.

Faizal, 37, berkata, sepanjang sembilan tahun bergelar penyanyi, ibunya, Muzlipah Aishah Pa Wan Teh, mahupun ayahnya, Mohd Tahir Abdul Rahman tidak pernah hadir menyaksikan persembahannya dan perkara itu membuatkan dia sedikit terkejut dan gementar.

"Memandangkan ayah saya seorang ahli akademik, dari dulu lagi, dia mahupun ibu kurang gemar dengan kerjaya yang saya lakukan ini.

"Tetapi saya tahu mereka tetap menyokong dalam senyap. Cuma saya tak sangka pula ibu tanya tiket untuk menyaksikan konsert saya di DFP akan datang ini.

"Saya rasa mungkin mereka berbangga dengan kejayaan yang saya peroleh ini" katanya.

Faizal berkata demikian pada sidang media konsert One Night Only di Hotel Traders di sini pada petang Selasa.

Sementara itu, mengenai One Night Only, konsert itu akan dipersembahkan selama sehari sahaja bagi menjaga eksklusiviti persembahan itu.

Bagaimanapun kata Faizal, dia tidak akan membuat persiapan secara teratur kerana mahu mood persembahannya nanti lebih santai.

"Seperti biasa, saya akan tampil secara rock & roll. Cuma jujurnya saya tidak terlalu beria dalam membuat persiapan latihan. Saya mahu konsert saya nanti lebih neutral.

"Cuma saya akan memastikan kesihatan lebih terjaga kerana saya mudah demam.

"Tambah pula saya kurang tidur, membuatkan tahap kesihatan tidak stabil," ujarnya.

Pada konsert berkenaan, kata Faizal, dia akan mempersembahan lagu-lagu  daripada permintaan peminat-peminatnya.

Antara lagu popular yang akan dipersembahkan termasuklah Karma, Hanyut, Mahakarya Cinta, Selamat Malam, Sampai Syurga, Gemuruh dan Bencinta.

Tiket berharga RM120 dan RM216 bagaimanapun sudah habis dijual.
One Night Only, Faizal Tahir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain