suria

Karyawan Tidak Niat Nafikan Hak Persatuan Seni Lain

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menganggap peranannya dalam menyelesaikan kes-kes artis tempatan bukan berniat untuk mendapat nama atau menafikan hak persatuan lain, sebaliknya langkah itu sebagai satu tanggungjawab.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya sentiasa peka dan memandang serius terhadap aduan yang dibuat oleh ahli-ahlinya selain berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Kami tidak ada niat untuk mengejar nama atau over shadow persatuan lain, jika aduan dibuat, kami akan anggap ia sebagai satu tanggungjawab yang serius.

"Pihak kami akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan setiap kes itu dengan sistematik dan jalan yang lebih mudah," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Karyawan, di Saloma Bistro di sini, malam Khamis.

Freddie berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejayaan Karyawan menyelesaikan kes pelakon Ezany Nizariff dengan sebuah syarikat produksi drama yang melibatkan hutang tertunggak sehingga melibatkan kes polis.

Karyawan juga bertindak menyelesaikan isu pelakon itu yang kononnya digam oleh pihak pengurusan RTM.

Dalam pada itu, Freddie turut menasihati Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) agar lebih pantas bertindak dalam menangani kes-kes yang melibatkan ahli mereka.

"Seniman perlu melihat permasalahan tersebut dengan cara yang lebih bijak jangan sampai mereka melibatkan pihak-pihak berkuasa dan perkara ini akan menjadi lebih panjang namun akhirnya tiada sebarang penyelesaian.

"Kita guna pendekatan yang mesra kalau boleh tidak mahu ia menjadi kes mahkamah, lebih elok berjumpa dan selesaikan di luar mahkamah," katanya.

Freddie turut menasihatkan persatuan tersebut agar belajar daripada kesilapan.

"Presiden Seniman masih baru dan banyak yang perlu dia belajar cara untuk mengendalikan persatuan.

"Dia juga perlu mendengar suara dan permasalahan yang dihadapi ahli-ahlinya dan tidak bertindak seperti bodoh sombong," katanya.

Sementara itu, majlis berbuka puasa Karyawan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang turut menyampaikan sumbangan kepada 15 orang artis veteran dan 20 orang anak yatim.

Terdahulu dalam laporan mStar Online sebelum ini Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, persatuan itu mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan masalah artis dan tidak melakukan tugas dengan cara tergopoh gapah.

Katra Zed, dalam setiap masalah, meraka cuba memastikan tidak ada apa-apa tindakan saman boleh dikenakan ketika melakukan usaha menyelesaikan maslah ahli.

Artikel Lain