suria

Raja Azmi Bertegas Punyai Bukti Bakal Pelakon Penipu

Wajah terbaharu Raja Azmi
Wajah terbaharu Raja Azmi
Wajah terbaharu Raja Azmi

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi terus bertegas dengan mengatakan mempunyai bukti kukuh ditipu seorang bakal pelakon baharu yang turut menggunakan namanya untuk memperdayakan orang awam.

Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiaman, 53, berkata, dia tidak terlintas untuk memfitnah pemuda berkenaan tetapi apa yang berlaku itu adalah satu kebenaran.

“Dia tuduh saya memfitnah dan memburuk-burukkan namanya di laman sosial tetapi ia bukan satu fitnah. Ia adalah cerita benar kerana saya memiliki bukti-bukti yang dia telah menipu saya serta orang awam di luar sana,” katanya.

Raja Azmi ditemui pada sidang media bagi membersihkan namanya berhubung kejadian itu di RK Recipe & Cafe, Taman Melawati, di sini, Khamis.

Turut hadir beberapa individu bersama laporan polis yang mendakwa diperdaya pemuda berkenaan.

Pada Selasa lalu, seorang pemuda yang dikenali sebagai Adam Davin, 25, atau nama sebenarnya Davinder Singh Gurchran Singh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis, Ampang Jaya dekat sini kerana mendakwa difitnah Raja Azmi.

Pemuda itu turut mendakwa Raja Azmi telah menggunakan media sosial untuk memfitnahnya dengan menuduh dia menipu duit pelakon lain, suka mencuri dan tidak memulangkan baju tajaan selepas dia menarik diri daripada menaja pembikinan sebuah filem milik Raja Azmi iaitu Anak Ikan bernilai RM1.4 juta.

Dalam sidang media berkenaan Raja Azmi memberitahu, perbuatan pemuda berkenaan menyebabkan dia dipandang negatif oleh masyarakat.

Malah katanya, Adam Davin juga telah menggunakan populariti Raja Azmi untuk memperdayakan individu tertentu.

Dalam pada itu Raja Azmi mengakui terdapat perbincangan mengenai tajaan sebanyak RM500,000 yang ingin dilaburkan oleh bapa Davin dengan syarat anaknya itu mesti menjadi hero dalam filem tersebut.

Namun katanya, Davin sering mengelak daripada membuat perbincangan hal tajaan tersebut dan pada masa sama sudah mula menggunakan nama penerbit itu untuk kepentingan peribadi.

"Dari dulu lagi saya tak pernah minta sesiapa untuk menaja filem saya. Tetapi apabila ada orang yang datang menawarkan pelaburan dalam filem saya itu, siapa yang tak nak bukan?

"Sudahlah dia sentiasa menipu mengatakan dia seorang anak tauke beberapa jenama kain terkemuka, dia gunakan nama saya pula untuk kepentingan peribadi dia.

"Malah dia telah menganjurkan sebuah sesi pencarian bakat untuk filem baru saya itu tanpa pengetahuan saya. Atas sebab apa? Saya tak pasti.

"Dan tiba-tiba dia kata dia telah menarik tajaannya itu selepas melihat reputasi buruk saya sebelum ini. Sedangkan sehingga kini kami tidak sempat berbincang mengenai pelaburan yang mahu dikeluarkan bapanya itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata selepas dia menulis mengenai perbuatan Davin tersebut dalam Instagram miliknya, ramai individu turut berkongsi menjadi mangsa ditipu.

"Sekarang ini, semua mangsa telah membuat laporan polis, begitu juga dengan saya Cuma kami berharap agar Davin segera ditangkap memandangkan terdapat banyak bukti-bukti mengenai penipuannya itu,” tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain