suria

Lebih 6,000 Terpukau Tonton Konsert Anuar Zain

SHAH ALAM: Penyanyi popular Anuar Zain tampil dengan aksi memukau di hadapan enam ribu penonton pada konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari di Stadium Malawati di sini, malam Sabtu.

Pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini membuka tirai konsert pada pukul 9 malam menerusi lagu I'm The Lucky One dengan iringan 26 pemuzik bersama empat penyanyi latar.

Menyusul pada lagu kedua, Anuar mempersembahkan lagu Bila Resah yang digubah dengan susunan baharu di bawah pimpinan Mac Chew.

Anuar terus mengikat tumpuan dengan lagu rancak Selamat Pagi Sang Suria berlatarkan paparan visual dan pencahayaan yang berwarna-warni.

Sorakan kuat penonton mengisi segenap ruang stadium setiap kali Anuar mengusik penonton dengan gurauan dan telatah mesranya.

Konsert yang meraikan tiga dekad pembabitannya sebagai penyanyi terus rancak dengan alunan lagu-lagu popular termasuklah Jangan Bersedih Lagi, Mungkin dan Ajari Aku.

Sebelum beralih ke set kedua, Anuar menunaikan janjinya dengan menayangkan klip video lagu terbaharu berjudul Sempurnakan Aku buat julung kali di hadapan khalayak.

Pada set kedua, Anuar muncul dengan sut rona velvet dan terus menawan hati peminat dengan lagu Keabadian Cinta serta lagu rancak, Kau Bunga Cintaku.

Bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-43 pada Jumaat, Anuar sempat mengusik menerusi lagu selamat hari lahir kepada peminat yang turut berkongsi bulan kelahiran dengannya.

Antara lagu lain yang turut didendangkan adalah Perpisahan, Ku Hanya Milikmu dan Ketulusan Hati.

Konsert yang meraikan cinta dan kasih sayang itu tampak indah dengan gelagat Anuar melemparkan kuntuman-kuntuman ros merah silih berganti kepada peminat.

Anuar menggamatkan stadium ketika mendendangkan lagu Cinta Tak Harus Memiliki dengan menampilkan tiga penyanyi wanita Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira sebagai penyanyi iringan.

Pada set ketiga, penyanyi yang murah dengan senyuman ini menampilkan lagu pembukaan Sesuci Cintamu dengan gubahan baharu.

Bukan sekadar kekuatan vokal yang konsisten, persembahan Anuar turut diperkuatkan oleh paparan visual yang menarik pada setiap lagu.

Lagu-lagu yang menyusul antaranya Bidadari, Semua Untukmu, lagu pertamanya sebagai penyanyi iaitu Kain Pelikat, Teman Terulung dan Lelaki Ini.

Anuar melabuhkan tirai persembahan selama lebih dua jam itu dengan lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa iaitu Sedetik Lebih.

Konsert yang terbahagi kepada tiga segmen itu turut diserikan dengan kehadiran kedua ibu bapa Anuar, kakaknya penyanyi Ziana Zain dan ahli keluarga terdekat.

Yang jelas, penantian para peminat Anuar terbayar dengan pakej konsert yang lengkap hampir pada setiap aspek termasuk vokal, susunan muzik, rekaan pentas dan pencahayaan.

Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari bukan hanya menghiburkan dengan rangkaian lagu mengasyikkan, malah punya nilai tersendiri yang akan diabadikan para pencinta penyanyi bervokal lantang ini.

Artikel Lain