suria

Konsert The Jacksons Pukau 2500 Penonton

Kumpulan adik-beradik legenda, The Jacksons. Foto IZZRAFIQ ALIAS
Kumpulan adik-beradik legenda, The Jacksons. Foto IZZRAFIQ ALIAS
Kumpulan adik-beradik legenda, The Jacksons. Foto IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Penangan kumpulan adik-beradik legenda, The Jacksons bukan calang-calang apabila mereka berjaya menghiburkan seramai 2500 penonton pada konsert 'The Jacksons Unity Tour' yang telah berlangsung di Stadium Negara di sini, malam Khamis.

Kumpulan dari Gary, Indiana, Amerika Syarikat itu telah mengikat tumpuan para peminat menerusi 29 buah lagu dalam tempoh hampir satu jam setengah.

Tirai persembahan dibuka pada pukul 9 malam menerusi lagu Can You Feel It sekaligus melonjakkan keterujaan peminat untuk sama menyanyi.

Jelas sekali, tempoh hampir 30 tahun mereka yang membawa haluan masing-masing sebelum ini seolah menyuntik adrenalin kepada anggota The Jacksons iaitu Jackie, Tito, Marlon dan Jermaine tampil bertenaga dengan persembahan yang sangat menghiburkan.

Kumpulan ini berjaya mementaskan sebuah konsert yang cukup berbaloi untuk terus diingati, khususnya di kalangan peminat yang sudah sekian lama menantikan mereka beraksi secara langsung di sini.

Malah legasi muzik mendiang Michael Jackson yang telah meninggal dunia pada tahun 2009 seolah-olah turut ‘mengiringi’ persembahan mereka pada malam itu.

Ternyata, kembara muzik mereka di pentas cukup mengasyikkan dan menggamit memori di kalangan penonton pada era kemasyhuran lagu-lagu popular mereka.

Malah, walaupun kurang berkomunikasi dengan penonton, kumpulan itu membiarkan lagu-lagu hits mereka 'berkata-kata' membuai para peminat yang turut bernyanyi bersama-sama.

Antara lagu-lagu yang dibawakan ialah Blame It On The Boogie, Rock With You, Show Me The Way We Go, Lovely One, Time Waits With No One, Heaven Know's I Love You dan Push Me Away.

Kemeriahan tersebut mencapai kemuncak apabila The Jacksons tiba pada lagu-lagu terakhir mereka iaitu Heartbreak Hotel, Wanna Be Starting Something, Don't Stop Till Ypu Got Enough dan Shake Your Body Down To The Grown.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1964 itu sudah menghasilkan 18 buah album studio dengan penjualan melebihi 100 juta unit di seluruh dunia.

Kali terakhir The Jacksons muncul bersama pada siri jelajah dunia adalah pada 1984 menerusi Victory Tour.

Konsert itu dibawakan oleh Offshore Entertainment Production.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain