suria

Khalid Nadzri Rasa 'Goyang' Dengan Artis Terkenal

Khalid seorang pengarah drama baru yang mempunyai bakat besar.
Khalid seorang pengarah drama baru yang mempunyai bakat besar.
Khalid seorang pengarah drama baru yang mempunyai bakat besar.

PETALING JAYA: Pengarah muda Ahmad Khalid Nadzri mengakui gementar apabila mengarahkan pelakon terkenal seperti Fasha Sandha dan Kamal Adli dalam drama bersiri terbarunya berjudul Runtun Qalbu.

Khalid yang juga adik kepada pelakon dan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, perasaan itu timbul kerana dia bimbang peranannya sebagai seorang pengarah baru tidak dapat diterima oleh mereka.

"Perasaan itu muncul kerana mereka semua pelakon yang sudah mempunyai reputasi masing-masing dalam industri seni dan atas sebab itulah saya sedikit 'goyang' semasa mula-mula ke lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun perasaan itu hilang apabila mereka sebenarnya sangat profesional dan menghormati kedudukan saya sebagai pengarah walaupun masih lagi baru," ujarnya kepada mStar Online.

Drama bersiri 13 episod itu bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini dan akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pengalaman bekerjasama dengan pelakon seperti Fasha dan Kamal, Khalid memberitahu mereka sentiasa mendengar arahan yang diberikan dengan baik.

Malah kata Khalid, kedua-dua pelakon drama bersiri itu juga turut memberi pandangan masing-masing demi memastikan hasil karya itu memuaskan.

"Kami dapat bekerjasama dengan baik kerana apa yang lebih penting hasil drama ini akan dapat diterima oleh penonton," katanya.

Sementara itu, Khalid seorang pemegang ijazah dalam bidang pengarahan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) turut mengakui cara pengarahannya mempunyai persamaan dengan Idham yang juga mentornya.

Khalid menjelaskan perkara itu bukan disengajakan tetapi sudah terbiasa dengan gaya Idham yang bertindak membimbingnya selama ini.

"Bukan saya kata meniru cara arahan abang tetapi sebagai anak didiknya sudah tentu saya terpengaruh serba sedikit dengan cara pengarahannya.

"Bagaimanapun saya masih mempunyai kaedah tersendiri untuk membentuk sesuatu projek itu supaya ia tidak disamakan dengan karya abang saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain