suria

Deejay Lin Jadi Duta Produk Kerana 'Suria Cinta'

Deejay Lin
Deejay Lin
Deejay Lin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, deejay Lin (DJ Lin) dipilih menjadi duta produk kecantikan Nureen's Beauty kerana popularitinya mengendalikan segmen Suria Cinta di stesen itu.

Pengarah Urusan Nureen's Beauty, Mohd Rafi Ismail berkata, pengaruh penyampai radio popular itu telah mendorong pihaknya untuk melantik DJ Lin sebagai duta produk tersebut.

"DJ Lin dilihat sebagai seorang yang berpengaruh dan mempunyai penyokong tersendiri.

"Malah rakan Facebook dia yang mencecah 86,000 peminat selain laman blog beliau iaitu fandjlincintamania.blogspot.com yang mempunyai pelawat sebanyak 30,000 telah meyakinkan kami bahawa dia sesuai untuk bertindak sebagai ejen promosi kami," ujarnya kepada mStar Online.

Mohd Rafi ditemui selepas majlis memperkenalkan DJ Lin sebagai duta produk terbaru mereka di sini pada Rabu.

Tambah Mohd Rafi, pihaknya yakin penyampai radio itu mampu meningkatkan jualan produk mereka bertepatan dengan objektif syarikat mereka yang komited untuk bersaing secara lebih serius dalam industri produk kecantikan dan penjagaan kesihatan.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata, dia amat berterima kasih kepada pihak Noreen's Beauty kerana memberi kepercayaan kepada dirinya untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta produk berkenaan.

Dia bukan sahaja mewakili produk tersebut tetapi juga akan turun padang mempromosikan Noreen's Beauty kepada pelanggan selain mengadakan peraduan untuk para pendengar Suria Cinta pada masa akan datang.

"Kepercayaan ini akan digunakan dengan sebaiknya bagi membantu bukan sahaja dari segi jualan produk itu tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya di kalangan wanita mengenai kesihatan," ujarnya.

Pada majlis sama, pihak Noreen's Beauty turut memperkenalkan tiga produk kesihatan terbaru syarikat itu iaitu Nureen's SliimBetz, Mirifica Gold dan Gluta Collagen.

Sementara itu, DJ Lin memberitahu dia juga turut menggunakan pengalamannya sebagai pegawai perhubungan awan di Suria FM selama tiga tahun untuk membantu syarikat itu mendapatkan publisiti selain menjadi duta.

Selain produk kesihatan, DJ Lin juga turut menjadi duta kepada Proton Pesona.

Dia juga pernah memenangi anugerah Penyampai Radio Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2010 selain menggondol anugerah Rancangan Interaktif Radio Terbaik pada 2005 dan 2010 pada majlis sama.

Artikel Lain