suria

Norish Karman Dapat Hak Jagaan Anak

Norish Karman
Norish Karman
Norish Karman

PETALING JAYA: Hak penjagaan ketiga-tiga anak pelakon dan penyanyi Norish Karman akhirnya memihak kepadanya selepas diputuskan Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Isnin.

Menurut laporan Harian Metro pada Selasa, Zainor Rashid membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan dan pilihan anak-anak yang dibuat secara sukarela terhadap ibu mereka.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur. Sebelum ini saya rasa dalam keadaan tak menentu, ya atau tidak mereka (anak-anak) akan bersama saya atau sebaliknya,” kata aktres itu dalam nada sebak ketika ditemui di luar mahkmah.

Norish berkata, walaupun dia mendapat hak penjagaan ke atas Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8, itu tidak bermakna mereka tidak boleh berjumpa dengan bapa mereka, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.

“Walau apapun, mereka tetap akan berjumpa dengan bapa mereka, tetap kena hormat kepada bapa,” katanya yang hadir ke mahkamah memakai jubah dan bertudung hitam.

Pada prosiding, Isnin, ketiga-tiga anak pelakon itu ditemubual Zainor Rashid kira-kira 30 minit di dalam kamar bagi membolehkan mereka membuat pilihan di hadapannya sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa mereka.

“Selepas mendengar keterangan dan pilihan anak yang dibuat secara sukarela, hak penjagaan anak diserahkan kepada plaintif (Norish) iaitu ibu,” kata Zainor dalam keputusannya.

Pada prosiding itu, peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Norish memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan, Hashimuddin dan peguamnya, Muhamad Burok tidak hadir ke kerana peguam mempunyai prosiding lain.

Bagaimanapun, defendan bersetuju supaya prosiding diteruskan tanpa kehadirannya.

Norish memfailkan kes itu pada 10 Oktober 2008.

Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 36, dan Hashimuddin, 63, berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini, pada 15 Julai 2008.

Norish turut memfailkan tuntutan harta sepencarian serta tuntutan nafkah anak-anak termasuk permohonan supaya disediakan kenderaan dan rumah.

Artikel Lain