suria

Vokal: Adeq, Aswad Tidak Putus Asa Menyanyi Lagi

Aswad di samping pengacara Faizal Ismail dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto BRIAN MOH
Aswad di samping pengacara Faizal Ismail dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto BRIAN MOH
Aswad di samping pengacara Faizal Ismail dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto BRIAN MOH

SHAH ALAM: Dua finalis yang tersingkir dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa, Fazdrul Aswad Fauzi (Aswad), 19, dan Siti Nur Aishah (Adeq), 21, tidak berputus asa untuk meneruskan karier nyanyian masing-masing.

Mereka akur dengan kehendak juri tetap iaitu komposer Azmeer dan penyanyi Erra Fazira serta juri jemputan, penyanyi Hattan yang gagal menerima mereka untuk meneruskan perjuangan dalam program realiti di TV3 yang bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Ahad.

“Saya merancang untuk membikin ‘single’ yang digubah sendiri dengan bantuan abang saya, walaupun gagal dalam pertandingan ini.

“Selain itu, saya akan meneruskan karier saya sebagai penyanyi sambilan di Hotel Sunway.

“Saya menganggap program ini mampu memberikan platform kepada saya untuk mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian,” kata Adeq ketika sidang media seusai program tersebut berakhir.

Sementara Aswad pula akan mengikuti kumpulan muziknya yang telah ditubuhkan sebelum ini bersama-sama abangnya, Fakhrul Nizam Fauzi (Fakhrul), 21, yang turut menyertai program itu dan layak ke pusingan seterusnya.

“Dalam band tersebut, saya memegang posisi sebagai gitaris. Jadi, selepas ini saya akan berbincang dengan anggota band lain untuk meneruskan karier kami,

“Semasa menyertai program ini, saya tidak pernah terfikir untuk menang atau kalah sebaliknya berniat untuk belajar dengan tenaga pengajar yang ada seperti Faizal Uzir (Cikgu Lok-U).

“Bagaimanapun, saya menghormati keputusan juri dan menerimanya dengan positif. Mungkin juga saya tidak sesuai menyanyikan lagu Sungai Lui. Namun saya tetap menerimanya sebagai cabaran dan professional,” katanya yang selesa menyanyi sambil bermain gitar.

Ini bermakna, empat finalis dari kumpulan pertama iaitu Asmidar, Boby, Mafa dan Azmarul, selain Fakhrul, Irsa dan Boy dalam kumpulan kedua berjaya layak ke minggu seterusnya.

Bermula minggu depan, semua finalis akan dinilai mengikut format pemarkahan 50 peratus daripada juri tetap dan 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dua finalis yang berjaya peringkat akhir pada minggu kesepuluh bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 untuk juara manakala RM30,000 (naib juara).

Program ini disiarkan secara langsung di TV3, pukul 9 malam selama 10 minggu dan pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 25 Disember depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain