suria

DJ Fuzz Tulis Buku, Tubuh Akademi

DJ Fuzz yang popular dalam industri pusat-pusat hiburan kini tampil dengan album Mixology 3 yang lebih komersial dan mesra pendengar. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
DJ Fuzz yang popular dalam industri pusat-pusat hiburan kini tampil dengan album Mixology 3 yang lebih komersial dan mesra pendengar. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
DJ Fuzz yang popular dalam industri pusat-pusat hiburan kini tampil dengan album Mixology 3 yang lebih komersial dan mesra pendengar. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Atas kesedaran untuk menyuntik minat remaja dan kanak-kanak terhadap profesion seorang pengacara lagu (DJ), DJ Fuzz atau nama sebenar Farzwa De Attaher Emir, 33, bukan saja menubuhkan Akademi DJ Mixology, malah dia juga kini sedang bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku mengenai selok-belok dan dunia seorang DJ.

Menurut DJ Fuzz, pendedahan yang tidak meluas terhadap profesion DJ di kalangan masyarakat Malaysia merupakan faktor utama yang menggerakkannya untuk mengambil inisiatif itu.

Bercerita tentang buku yang masih lagi berada dalam peringkat penulisan itu, DJ Fuzz berkata, pengisian buku berbahasa Inggeris itu bakal mendedahkan selok-belok dunia DJ dan cara-cara untuk bergelar DJ secara terperinci.

Menariknya, buku yang belum mempunyai tajuk itu dihasilkan daripada kaca matanya yang berpengalaman dalam bidang itu selama 11 tahun.

"Saya seorang yang suka mengajar. Memang sejak dulu pun, apabila ada pelajar-pelajar yang menghubungi saya untuk bertanyakan tentang selok-belok bidang ini, saya akan beria-ia memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara itu.

"Daripada situ, saya terfikir mengapa tidak saya hasilkan sebuah buku lengkap yang menghuraikan dengan mendalam tentang bidang ini.

"Saya mula menulis sejak Mac tahun lalu lagi. Ia akan memaparkan tentang dunia DJ dari kaca mata dan pengalaman saya," katanya yang merancang untuk memasarkan buku itu, pertengahan tahun ini.

Walaupun kerjaya sebagai DJ mempunyai kedudukannya tersendiri di kalangan masyarakat di Amerika Syarikat dan Eropah khususnya, senario itu masih asing bagi masyarakat Malaysia.

Ironinya, kecenderungan dan minat anak muda di sini adalah memberangsangkan biarpun bidang itu tidak begitu popular.

Buktinya, sejak dia menubuhkan akademi itu lima tahun yang lalu, lebih daripada 100 pelajarnya kini telah bergelar DJ.

"Idea penubuhan akademi ini dicetuskan oleh rakan saya Altimet. Pada awalnya, saya cuma mengadakan tutor secara kecil-kecilan di rumah bersama beberapa orang kanak-kanak dan remaja saja.

"Lama-kelamaan, ia mula mendapat sambutan yang lebih menggalakkan. Bermula dari rumah pada sekitar 2004 atau 2005, saya kemudiannya menyewa sebuah rumah kedai di Kelana Jaya bagi menampung kapasiti kelas yang semakin besar.

"Kira-kira dua tahun lalu, akademi ini semakin berkembang dan saya berpindah ke Amcorp Mall. Kini saya mempunyai kira-kira 20 hingga 30 orang pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah hinggalah lewat 20an," kata anak kepada pembaca berita veteran Farit Ismeth Emir ini.

Akademi DJ Mixology yang terletak di Amcorp Mall (Petaling Jaya) dan Perangin Mall (Pulau Pinang) itu menawarkan kursus pembelajaran dalam masa tiga bulan kepada sesiapa saja yang berminat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.djfuzz.com.my atau mixologydjacademy.blogspot.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

33 Selebriti Pakai Cheongsam

Artikel Lain