suria

Haiza: Bayaran Jatuh Nombor Dua

Haiza sedang sibuk menjayakan promosi tuala penyayang She mulai Julai ini. - Foto oleh RAYMOND OOI
Haiza sedang sibuk menjayakan promosi tuala penyayang She mulai Julai ini. - Foto oleh RAYMOND OOI
Haiza sedang sibuk menjayakan promosi tuala penyayang She mulai Julai ini. - Foto oleh RAYMOND OOI

TIDAK seperti sesetengah artis, penyanyi, pelakon dan pengacara Haiza tidak begitu mengambil berat tentang bayaran kerja yang diterimanya.

Ini termasuklah sekiranya dia dipanggil untuk menjayakan mana-mana program atau promosi produk.

Bukan hendak bercakap sombong kerana tidak kisah dengan bayaran, sebaliknya Haiza lebih selesa memikirkan tentang keseronokan menjayakan sesuatu program itu.

“Bayaran jatuh nombor dua. Bila menerima tawaran sesebuah syarikat itu, saya mementingkan keseronokan bekerja lebih-lebih lagi jika saya dah biasa dengan syarikat itu.

“Kalau bayaran banyak tetapi kita tak gembira buat kerja tu pun buat apa. Kadangkala saya fikir juga sama ada berbaloi atau tidak menerima sesuatu tawaran itu,” katanya ketika majlis pelancaran dan sidang media tuala penyayang She di Subang Jaya, Khamis.

Haiza terpilih sebagai artis yang akan menjayakan promosi tuala wanita itu bersama-sama dua lagi artis iaitu Danny Anwa dan Lisdawati. Kempen bermula dari 1 Julai hingga 30 September ini.

Penyanyi dangdut berusia 30 tahun itu berkata dia menerima tawaran untuk mempromosikan produk edaran Naraya International Sdn Bhd itu kerana pernah menyertai promosi produk Double Lion di bawah syarikat yang satu bumbung dengan Naraya iaitu Power Pack Sdn Bhd.

“Saya terima (promosi tuala penyayang She) sebab aktiviti ini ada kena-mengena dengan kesihatan. Lagipun, sebelum ini saya pernah menyertai program yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (Makna).

“Kalau boleh, saya nak perkenalkan produk ini ke sekolah-sekolah dan artis lain. Bagi saya, wanita dan lelaki perlu ambil berat tentang kanser kerana wanita mempunyai risiko untuk mengidap kanser rahim dan payudara,” ujarnya.

Penyanyi lagu Dua Kutub Magnet itu juga mengaku telah cuba menggunakan pentiliner dan tuala wanita She.

Kesannya, pemilik nama sebenar Rohaiza Nordin itu berasa selesa dan tidak perlu terlalu kerap menukar tuala wanita ketika datang bulan.

“Kalau saya guna tuala wanita lain, saya perlu tukar setiap empat jam. Tapi, apabila saya menggunakan She, saya boleh menukarnya selepas enam jam,” tuturnya.

Selain menyeimbangkan sistem hormon wanita, tuala penyayang She juga dipercayai mampu merendahkan kadar kolestrol dan membantu menurunkan berat badan serta membersihkan sistem peranakan dan melancarkan darah.

Artikel Lain