suria

Hak Jagaan Anak Norish Karman Dibicara Oktober

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan mendengar perbicaraan permohonan hak jagaan kekal tiga anak oleh dramatis Singapura, Norish Karman terhadap bekas suaminya, seorang ahli perniagaan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 25 Oktober depan.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut menetapkan 28 Julai ini untuk Norish menjawab permohonan Hashimuddin yang membantah dua permohonan pelakon yang mencipta nama menerusi filem Sayang Salmah tersebut.

Dua permohonan itu adalah permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) Norish berhubung isu persekolahan anak dan sebuah kereta lengkap dengan cukai jalan dan insurans bagi kegunaan anak serta tuntutan harta sepencarian.

Prosiding hari ini berjalan tanpa kehadiran Hashimuddin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Negeri Sembilan dan peguam syarienya, Muhammad Buruk.

Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman yang hadir dengan mengenakan baju labuh putih dan bertudung hitam diwakili peguam syarie, Amli Embong.

Pasangan tersebut berkahwin di Perlis pada 11 Januari 1998 dan disahkan bercerai pada 15 Julai 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Muhammad Haqiem Amany, 11, Muhammad Hady Amieran, 7, dan Nur Hanyz Amanda, 6 tahun.

Meskipun isu perceraian telah selesai, permohonan hak penjagaan dan nafkah anak-anak masih berjalan di mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain