suria

Siti Terima Beg Tangan LV Daripada Suami

Siti memotong kek ulang tahunnya ke-31 sambil diperhatikan oleh suaminya, Datuk K. -Foto The Star oleh SAHAR MISNI
Siti memotong kek ulang tahunnya ke-31 sambil diperhatikan oleh suaminya, Datuk K. -Foto The Star oleh SAHAR MISNI
Siti memotong kek ulang tahunnya ke-31 sambil diperhatikan oleh suaminya, Datuk K. -Foto The Star oleh SAHAR MISNI

RAMAI yang tertanya-tanya apakah hadiah istimewa yang diterima oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza daripada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-31 semalam, 11 Januari.

Semuanya terjawab apabila wanita yang dikenali dengan panggilan Siti ini memberitahu dia telah menerima hadiah sebuah beg tangan jenama Louis Vuitton (LV) berwarna merah.

“Selain kasih sayang, saya menganggap hadiah pemberian suami ini berupa suatu kegembiraan,” ujarnya sambil menunjukkan beg tangan itu ketika sidang media sambutan ulang tahun dan pelancaran album duetnya dengan penyanyi Indonesia Krisdayanti iaitu CTKD di JW Marriott, Kuala Lumpur semalam.

Seperti yang dikatakan oleh Khalid atau mesra dengan nama Datuk K, penyanyi nombor satu negara ini juga mengaku suaminya telah membawanya bercuti ke tiga lokasi percutian iaitu Barcelona, Dublin dan London pada pertengahan Disember lalu selama dua minggu.

Namun begitu, Datuk K yang ditemui dalam temubual yang berlainan pada mulanya enggan mengumumkan tentang hadiah hari lahir untuk isterinya itu.

Dalam nada gurau, Datuk K berkata, “Tak payahlah..tak perlu beritahu…tak elok tunjuk gambar. Lagipun, nanti ramai suami-suami yang marahkan saya.”

Dalam pada itu, Siti menganggap majlis pada malam itu sebagai tanda curahan hatinya bersama teman baiknya, Krisdayanti atau KD.

“Kami ketawa dan berduka bersama-sama…jadi saya mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk melancarkan album kami dan ia menjadi lebih bermakna walaupun dirancang pada saat-saat akhir.

“Setelah saya menghubungi KD, dia kata ok. Mungkin majlis ini ada kekurangannya kerana ikutkan hampir 500 tetamu yang mahu datang tetapi saya hanya menjemput 360 tetamu,” beritahu penyanyi yang sedang popular menerusi lagu Amarah hasil duet dengan KD.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis itu adalah keluarga Siti dan Datuk K termasuk rakan selebriti seperti pengacara Aznil Hj Nawawi, pelakon Lisa Surihani, penyanyi Fazli Zainal, Angkasawan Negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan tunangnya, Dr. Halina Mohd Yunos.

Menyentuh tentang album yang membawa maksud Canda, Tangis, Ketawa, Duka (CTKD) itu, ia telah berada di pasaran tempatan mulai 28 Disember lalu dan bakal menembusi pasaran Indonesia pada 27 Januari ini.

Ketika memberikan ucapan di pentas, KD yang menganggap Siti merupakan sahabatnya yang sebenar-benarnya berkata album itu mengambil masa pembikinan paling singkat iaitu hanya sebulan.

“Bayangkan, untuk rakaman vokal sahaja mengambil masa lima hari. Alhamdulillah, saya dengar album ini sangat diterima di Malaysia,” beritahunya dalam majlis yang dihoskan oleh dua penyampai radio Hot FM iaitu Fara Fauzana dan Sharifah Aleya.

Melalui pemerhatian album yang memuatkan enam buah lagu seperti Jika Kau Tak Datang, Tanpamu dan Dalam Diamku termasuk empat buah minus one, ada yang mendakwa vokal Siti lebih dominan berbanding vokal KD.

Namun begitu, kedua-dua penyanyi bergelar diva ini menafikan dakwaan itu sebaliknya berkata mereka telah membahagikan bahagian masing-masing dengan sama rata.

“Kalau dengar album ini dengan betul dan jelas, tiada siapa yang dominan. Tiada saya yang lebih atau tidak,” ulas Siti.

Siti belum bersedia sandang jawatan Pengetua AF

Program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) musim kelapan kembali membuka tirainya dan spekulasi bertiup kencang mengatakan Siti bakal menyandang jawatan Pengetua AF8. Biarpun begitu, Siti berkata dia belum bersedia menyandang jawatan itu.

Namun dia tidak menafikan pernah menerima tawaran itu pada Oktober tahun lalu.

“Saya menerima tawaran untuk bergelar juri profesional Anugerah Juara Lagu ke-24 baru-baru ini atas dasar mengadili dari segi persembahan.

“Saya belajar daripada konsert-konsert yang pernah diadakan sebelum ini. Tetapi saya merasakan sangat sukar untuk memegang jawatan Pengetua AF kerana ia memerlukan perancangan yang baik dan rapi.

“Jika tidak bagus, ia akan memberikan kesan.Namun, saya tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan artis baru yang ingin belajar tentang nyanyian,” akhirinya.

Artikel Lain