suria

Julia Tidak Tolak Takdir Jodoh Dengan Suami Orang

MELIHAT kepada usianya kini yang sudah mencecah 25 tahun, akui Julia Ziegler, dirinya memang sudah layak untuk mendirikan rumahtangga.

Malah, dalam nada ceria, pelakon yang popular menerusi filem Kayangan dan Jangan Tegur ini berkata, dia sendiri memang sudah bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Cuma satu masalah saja yang dihadapinya ketika ini, iaitu belum bertemu lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami.

Walaupun sebelum ini dia sering dikaitkan dengan beberapa individu di dalam bidang seni ini antaranya Yusry KRU, Pierre Andre dan Syamsul Yusof, namun tutur Julia, dia sebenarnya belum lagi bertemu cinta sejati sejak putus kasih dengan seorang jejaka pada tahun 2006.

Hendak dikatakan serik untuk bercinta, dia sendiri kurang pasti sama ada perkataan itu sesuai untuk menjelaskan perasaannya ketika ini.

"Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin. Dan saya sebenarnya amat teringin untuk ada anak sendiri. Tetapi, itulah...saya seperti sudah 'takut' dengan lelaki kerana asyik dikecewakan.

"Tapi, sebagai perempuan, saya masih memasang impian untuk berkahwin. Cuma setakat ini, belum bertemu yang sesuai. Bukannya saya memilih sangat...saya cuma ingin seseorang yang boleh memahami diri saya," luah Julia tatkala diajukan pertanyaan tentang 'cinta'.

Kata anak ketiga daripada empat beradik ini, walaupun pernah dilabel sebagai 'perampas' dan dikatakan rapat dengan beberapa artis lelaki sekadar untuk kepentingan diri sendiri, Julia tidak pernah melenting atau melatah dengan tohmahan seperti itu.

Bagi gadis kelahiran Ampang ini, subjek 'cinta' dan 'jodoh' cukup sukar untuk dibicarakan olehnya kerana tidak semua akan faham apa yang dirasai dalam dirinya.

"Bila saya dilabelkan seperti itu, saya hanya mampu tersenyum saja. Lagipun, mengapa perlu saya melenting kerana cerita-cerita yang keluar itu adalah gosip semata-mata. Masyarakat bebas untuk membuat penilaian.

"Cuma apa yang pasti, saya ketika ini memang masih solo sejak putus cinta kira-kira tiga tahun lalu," tuturnya.

Diusik sama ada dia tidak kisah menjalinkan kasih dengan suami orang, sambil ketawa Julia menjawab:

"Susahnya jawab soalan ini. Sebagai orang Islam, saya tidak menentang poligami. Cuma saya berharap agar 'dielakkan' daripada bercinta dengan suami orang. Tetapi kita tidak pernah tahu apa yang bakal kita hadapi kelak.

"Lagipun urusan tentang jodoh ini adalah daripada Allah. Siapa saya untuk menentang apa yang telah ditetapkan," tegas Julia.

Beralih kepada perkembangan karier seninya pula, Julia ketika ini sedang sibuk membantu produksi milik kakaknya, Linda Ziegler iaitu Niche Films untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Krayon.

Filem yang menyaksikan Julia menjadi Penerbit Bersekutu buat pertama kalinya itu kini sedang menjalani penggambaran di Melaka sehingga 24 Disember ini sebelum menyambung penggambarannya di Singapura pada 7 Januari depan.

"Ini adalah percubaan sulung saya dan kakak menghasilkan filem. Kakak saya memang sudah lama mempunyai produksi sendiri tetapi sebelum ini dia hanya menerbitkan drama. Gementar juga saya pertama kali jadi Penerbit Bersekutu.

"Tetapi saya rasa, jika tidak mencubanya sekarang, bila lagi? Bagus juga saya cuba belajar aspek-aspek di belakang tabir pula. Dalam filem ini, saya tidak berlakon sama. Rasanya lebih elok saya fokus sebagai penerbit saja kali ini," kata Julia.

Filem arahan Dean Borhan ini yang mengisahkan tentang kehidupan anak-anak yatim berbilang bangsa ini dibintangi oleh Adibah Nor dan pelakon Cina, Kaho.

"Skrip filem ini dibuat oleh Dean sendiri. Sebenarnya, skrip ini diberikan kepada kami pada bulan Ramadan lalu, tetapi memandangkan saya ke Amerika Syarikat dan berada di sana selama tiga bulan, kami tundakan dulu projek ini.

"Saya suka dengan subjek anak yatim yang kami ketengahkan dalam filem ini. Dan apa yang menariknya, kami fokuskan kepada anak-anak yatim pelbagai kaum, sekaligus kami terapkan konsep 1Malaysia di dalam filem ini," ujar Julia, bersemangat menceritakan tentang filem tersebut.

Ditanya tentang lakonan terbarunya, kata Julia, dia baru selesai menjalani penggambaran dua buah filem terbaru iaitu Toyol Nakal dan Bisikan Puaka.

Artikel Lain