suria

Kakak Tua: Perkahwinan Artis Adalah Hak Peribadi?

BUKAN semua artis yang perlukan 'sokongan' wartawan ketika hidup dijengah bahagia.

Walaupun perkahwinan itu sesuatu yang patut dihebahkan untuk elak fitnah masyarakat, berkongsi hari bahagia bersama media bukan satu kemestian.

Bak kata artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) Musim Keempat, Faizal, yang keberatan hebahkan perkahwinannya pada Februari tahun ini kerana 'itu hak peribadi', katanya.

Faizal keliru tentang apa sebenarnya 'hak peribadi.' Siapa pilihan Faizal, itu memang hak peribadi tapi tidak menghebahkan tentang perkahwinan kerana anggap itu adalah hak peribadi, adalah kurang tepat. Bukankah beza status orang berkahwin dengan tidak berkahwin? Menyembunyikan status sebenar itu sendiri sudah salah. Bila wartawan melaporkan sedemikian, itu sudah salah fakta. Macam juga artis yang suka tipu umur.

Apa sebenarnya muslihat Faizal merahsiakan perkahwinan daripada keluarga sendiri hingga mereka sendiri pun terkejut dengan perkahwinannya.

Takkan lah ayah dan ibu tidak dimaklumkan. Lebih menghairankan bila ayah Faizal memberi kenyataan yang bercanggah. Mungkin Faizal perlu ruang untuk berdepan dengan perkara baru dalam hidupnya. Pelakon Cico dan Rich Estranged juga pernah berhadapan dengan situasi dan masalah yang sama satu ketika dulu.

Fahaman Kakak Tua, apa yang dimaksudkan dengan 'peribadi' itu ialah sesuatu yang membawa kepada hak-hak yang tidak mahu dikongsi atas sebab-sebab yang boleh menjatuhkan maruah.

Ruang litup 'peribadi' juga berbeza-beza interpretasinya. Apa yang dianggap peribadi pada Faizal, tidak begitu pada artis lain.

Tindakan membuat sidang akhbar untuk menceritakan perkara di sebalik perkahwinan tertutup tempoh hari, sesuatu yang wajar memandangkan berita perkahwinan itu menimbulkan lebih banyak tanda tanya dari jawapan.

Setidak-tidaknya apa yang dimusykilkan dapat dihuraikan. Meskipun begitu, ada juga yang beranggapan mengadakan sidang akhbar setelah perkahwinan berlangsung selama 10 bulan sedikit terlambat. Tapi Faizal pula berkata, ayahnya mungkin 'tidak biasa' diserbu wartawan, maka sebab itu jawapan yang diberi sedikit mengelirukan.

Faizal kata dia tidak mungkin membelakangkan keluarga dalam hal serius seperti perkahwinan. Baguslah kalau macam tu kerana yang bersusah payah, bergolok bergadai untuk mengundi Faizal dalam AF hingga menjadi juara bukan kah mak dan ayah juga.

Tak kan sekelip mata kita boleh terlupa pengorbanan mereka. Lagipun, tak lama lagi, Faizal sendiri akan bergelar ayah. Alam baru itu setidak-tidaknya dapat mendewasakan Faizal.

Kakak Tua tetap tak puas hati mendengar Faizal memberi alasan hendak beri tumpuan kepada karier sebab itu dia belum bersedia memperkenalkan isteri.

Memang ada artis lelaki yang begitu seperti Rosyam Nor, Ramli Sarip dan Faizal Tahir. Tetapi mereka cukup profesional dan tidak pernah mencampur adukkan urusan kerja dengan hal peribadi. Peminat tahu dan hormat status mereka yang bergelar 'suami orang'.

Rasanya tak timbul soal hilang populariti kalau peminat dapat tatap wajah isteri-isteri artis kesayangan mereka. Lagipun budaya timur kita tidak pernah membuat kita hilang pedoman sehingga terlupa batasan.

Sebenarnya, ada juga beberapa kerat artis yang memegang prinsip serupa Faizal, yang menganggap perkahwinan itu satu hal peribadi. Antaranya ialah aktres Eja dan Natasha Hudson. Tapi Natasha sudah rujuk semula kepada wartawan apabila perkahwinan keduanya temui kegagalan. Eja pula dapat mengatasi 'sifat malu' setelah bergelar ibu.

Bagi Kakak Tua, Faizal sebenarnya di dalam dilema kerana terpaksa menceritakan bagaimana perkahwinan penuh rahsia itu terjadi.

Faizal belum bersedia untuk berkongsi dengan peminat dan media, tiba-tiba didesak untuk berterus terang. Kalau sudah sanggup menjadi selebriti, mustahil perkara seperti perkahwinan boleh dianggap peribadi. Bukannya media atau peminat ingin snagat hendak menjadi tetamu, sekadar berkongsi khabar gembira.

Perkara yang paling senang akan menjadi sukar apabila kita banyak berhelah. Namun perkara yang sukar akan menjadi senang bila kita lapang dada dan berterus terang Rumitnya sesuatu perkara itu apabila kita sendiri merumitkan.

Tapi andai kata, kita mengaku kesilapan, jalan yang gelap bertukar terang dan benang yang kusut pun boleh dileraikan. Yang membataskan kita mengaku kesilapan hanyalah keegoan.

Kakak Tua: Fikiran tidak sekali datang.

Artikel Lain