suria

Zaifri tidak pernah puas hati dengan hasil kerjanya

Pengarah teater muzikal Gamat, Zaifri Husin. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Pengarah teater muzikal Gamat, Zaifri Husin. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Pengarah teater muzikal Gamat, Zaifri Husin. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

NAMA Zaifri Husin begitu sinonim dalam dunia teater di Malaysia, anak kelahiran Muar, Johor ini mampu mengarahkan apa jua jenis teater dan itulah keistimewaan yang dimilikinya.

Kejayaannya mengarahkan teater 'Mana Setangginya' hasil karya sasterawan negara terkenal, Datuk Noordin Hassan telah membuktikan kemampuannya dalam bidang pengarahan teater.

Pada 3-8 dan 11-12 Oktober ini Zaifri akan tampil sekali lagi bersama teater muzikal 'Gamat' di bawah arahannya yang akan dipentaskan di Istana Budaya.

Sudah pasti sebagai pengarah dan penulis skrip, Zaifri amat teruja dengan teater ini memandangkan ia merupakan teater kanak-kanak yang begitu digemarinya.

Bagaimanapun menurut Zaifri, cabaran yang dirasainya dalam mengarahkan Gamat adalah bagaimana untuk menjadikan teater kanak-kanak ini menarik.

"Cabaran pada diri saya dalam mengarah Gamat adalah bagaimana saya hendak menjadikan ia menarik.

"Gamat amat berlainan dengan Mana Setangginya, biarpun jalan cerita Gamat ini tidak seberat Mana Setangginya, tetapi saya perlu jadikan teater kanak-kanak ini jadi lebih menarik agar penonton tidak akan rasa bosan.

"Selain itu cabaran yang saya terima lagi adalah bagaimana saya hendak melatih pelakon kanak-kanak supaya mereka faham watak mereka.

"Tetapi saya kagum dengan mereka semua kerana begitu komited dalam menjalani latihan dan sanggup berlatih sehingga 12 tengah malam.

"Namun bagi saya, saya tidak akan mampu berdepan dengan cabaran ini seorang diri tanpa sokongan dari tenaga produksi yang terlibat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Zaifri juga, Gamat mempunyai kelainan tersendiri di mana teater kanak-kanak ini menggabungkan para pelakon kanak-kanak dengan orang dewasa.

"Saya sudah banyak kali mengarahkan teater kanak-kanak, tetapi sebelum ini kebanyakannya hanya melibatkan pelakon kanak-kanak atau remaja.

"Tetapi dalam Gamat, kami menggabungkan pelakon kanak-kanak dengan orang dewasa dan ini akan menjadikan Gamat lebih menarik," jelas Zaifri yang pernah mengarah teater kanak-kanak seperti Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit dan Ali Baba.

Teater kanak-kanak Ali Baba arahan Zaifri juga telah mendapat pengiktirafan persembahan terbaik dalam Festival Seni Persembahan Kanak-Kanak Antarabangsa 2007 di New Delhi India.

Bagi Zaifri juga, biarpun pementasan Gamat hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, sebagai seorang pengarah dia tidak pernah mempunyai rasa puas hati dengan kerjanya sebelum hari pementasan mahupun selepas pementasan.

"Sebagai seorang pengarah, saya tidak pernah rasa puas hati dengan hasil kerja saya tidak kira sebelum pementasan aatupun selepas pementasan.

"Setakat ini juga saya tidak boleh mengatakan saya puas hati dengan latihan yang kami jalankan.

"Gamat masih ada beberapa hari sahaja lagi untuk dipentaskan, jadi saya akan mengambil peluang ini untuk membaiki mana-mana kekurangan yang ada sebelum hari pementasan," ujar Zaifri yang berharap Gamat akan mendapat sokongan dari para peminat teater kanak-kanak Malaysia.

Jalan cerita Gamat

Muzikal Gamat membawa mesej untuk gaya hidup sihat, sayangkan alam sekitar dan pentingnya nasihat ibu bapa. Ia membawa kisah tentang kehidupan di dasar laut yang penuh suka dan duka.

Ada yang sakit akibat terkena sisa toksik yang dibuang oleh manusia. Banyak lagi penyakit lain yang melanda akibat kecuaian kita terhadap penjagaan kesihatan dan alam sekitar.

Pada suatu hari, Ketam Bunga, Ketam Batu dan Bintang keluar bermain di Taman Laut. Tiba-tiba mereka tersesat ketika leka dan seronok bermain. Mereka terjumpa dengan Mat (anak gamat) yang sedang ke Taman Plankton tanpa pengetahuan ibu bapanya, sedangkan ibu dan bapanya menyuruh Mat duduk di rumah sahaja.

Di Karang Puaka, Kurita sakit akibat terkena sisa toksik yang dibuang manusiake laut. Kurita mengarahkan pengikutnya Obor-obor untuk menangkap Ibu Gamat bagi mengubati penyakitnya. Malangnya, obor-obor tersalah tersalah tangkap Mat. Kurita sangat marah dan bertambah sakit.

Apabila ibu Gamat sedar anaknya hilang, dia berjumpa dengan Buntal (Polis Laut). Mereka mengajaknya berjumpa dengan Mahatahu (Belut Laut) yang memberi petunjuk kepada ibu Gamat untuk mencari anaknya.

Dalam perjalanan, mereka berjumpa dengan pelbagai penghuni laut seperti kuda laut (jururawat), ikan barakuda yan berani dan umang-umang serta landak laut yang nakal.

Akhirnya Mat berjaya ditemui. Kurita dan Obor-obor telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka dikenakan hukuman membersihkan Taman Laut dan berjanji tidak mengganggu penghuni laut yang lain.

Teater muzikal Gamat ini akan dipentaskan bermula 3-8 dan 11-12 Oktober ini di Istana Budaya bermula jam 8.30 malam. Antara artis yang membintangi teater ini adalah Amy Mastura, Datin Natasha Liana Hudson dan Zuhairi Ibrahim.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai teater ini bolehlah melayari blog rasmi iaitu www.muzikalgamat.blogspot.com.

Pembelian tiket secara online boleh dilakukan dengan melayari www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Artikel Lain